Politik

Negeri Tanpa Telinga

MELIHATKAN sikap kerajaan hari ini saya teringat sebuah filem Indonesia yang diterbitkan pada 2014 yang berjudul Negeri Tanpa Telinga.

Filem berkenaan menceritakan kisah seorang tukang urut lelaki muda yang sering mengeluh dengan pendapatan yang kecil sebagai tukang urut.

Bagaimanapun dia semakin terkenal dan sering mendapat pelanggan VVIP kerana urutannya yang sangat baik.

Selain itu dia juga terkenal sebagai tukang urut yang ‘tidak banyak mulut’ dan tidak pandai ‘bawa mulut’.

Namun semakin hari semakin ramai pelanggannya dalam kalangan orang ternama dan pelbagai cerita didengarnya dan terpaksa disimpan di benaknya.

Daripada masalah rumah tangga sampailah masalah negara. Dan ini menjadi tekanan kepada beliau kerana tidak dapat meluahkannya kepada sesiapa.

Untuk bercerita kepada ahli keluarganya sendiri pun tidak berani dilakukannya kerana bimbang menjadi ‘buah mulut’.

Akhirnya dia mengambil keputusan untuk menikam telinganya dengan pensel dan menjadi pekak.

Setelah menjadi pekak barulah jiwanya tenang dan tidak lagi perlu mendengar pelbagai masalah yang diceritakan.

Begitulah dengan negara kita pada masa ini kerajaan ibarat tidak mempunyai telinga untuk mendengar pelbagai rungutan dan masalah rakyat.

Jika ada telinga mungkin juga telah dipekakkan bagi mengurangkan tekanan yang dihadapi.

Semasa menjadi pembangkang, pelbagai usaha dilakukan untuk menumbangkan kerajaan yang ada, tetapi apabila telah berada di tampuk pemerintahan segalanya kelihatan tidak mudah.

Sebagai contoh isu Tabung Haji sahaja tidak dijawab dengan jelas oleh kerajaan hari ini.

Saya tidak faham mengapa seorang menteri perlu memetik tulisan blog bagi memperjelaskan keputusan kerajaan, sedangkan semua media kini dikawal oleh kerajaan.

Apakah kerajaan sendiri tidak lagi yakin dengan kemampuan media di bawah kawalan mereka dalam memberi penjelasan isu pentadbiran negara hingga terpaksa menggunakan blog.

Isu Tabung Haji, mahu dari kouta haji, subsidi haji dan penjualan aset perlu diberi penjelasan yang jelas dan tuntas kerana ia melibatkan majoriti penduduk negara ini yang beragama Islam.

Mengambil sikap memekakkan telinga tidak akan menyelesaikan masalah dan jika kerajaan hari ini benar-benar berani tubuhlah suruhanjaya diraja bagi menyiasat pengurusan Tabung Haji.

Bukankah ia sebahagian daripada janji manifesto Pakatan Harapan semasa pilihan raya yang lalu?

 

(Visited 312 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button