NegeriPendidikanRencah Hidup

NCIA, Yayasan PERTRONAS dan UPSI Rai Pelajar Cemerlang SPM 2022

PIHAK Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Yayasan PETRONAS telah melaksanakan Majlis Apresiasi bagi murid yang cemerlang SPM 2022 di bawah program empowerNCER Akademik yang dikelolakan oleh pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Selain itu, turut diadakan Majlis Jalinan Kolaborasi bagi tahun 2023 bagi meraikan 31 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan 17 Sekolah Murid Orang Asli (SMOA) yang melibatkan sembilan daerah di Perak.

Sembilan daerah iaitu Muallim, Batang Padang, Kampar, Kinta, Kuala Kangsar, Hulu Perak, Bagan Datuk, Hilir Perak dan Perak Tengah.

Daerah Kuala Kangsar dan Hilir Perak merangkumi 400 murid dari enam sekolah ditaja oleh Yayasan PETRONAS di bawah Program Yayasan PETRONAS EmpowerNCER Akademik.

Kedua-dua majlis diadakan di Kinta Riverfront Ipoh, Perak pada 17 Jun 2023. Seramai 1800 murid SPM 2023 dan 500 murid Tahun Enam Orang Asli yang terlibat secara langsung di dalam program bagi tahun 2023 ini.

Majlis dirasmikan Exco Pendidikan Negeri Perak Khairudin Abu Hanipah.

Beliau menggesa agar usaha baik ini diteruskan supaya lebih ramai masyarakat dan pelajar memperoleh manfaat hasil daripada pelaksanaan program ini.

Beliau juga menyatakan rasa syukur dan gembira atas kehadiran pelajar-pelajar dan ibubapa yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM 2022.

Dalam pada itu, beliau juga berpesan agar semua pihak yang bertanggungjawab turut memainkan peranan masing-masing dalam memastikan pencapaian akademik di Negeri Perak mencatat peningkatan yang baik pada masa akan datang.

Turut hadir, Datin Shahdee Datuk Ahmad, Pengarah Modal Insan dan Sekretariat, NCIA, YM; Tengku Noraida Tengku Mahmood, Ketua Bahagian Operasi Yayasan PETRONAS, Pegawai Daerah, wakil Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Pegawai Pendidikan Daerah, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pengetua, Guru Besar dan guru penyelaras, murid SPM 2022 dan ibubapa.

Murid cemerlang SPM 2022, Alica Choong Kah Yeng dari SMK Sentosa mendapat keputusan 9A menzahirkan rasa gembira kerana pihak empowerNCER Akademik melaksanakan majlis apresiasi pada hari ini.

“Saya dapat membanggakan kedua ibubapa dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dalam menempuh SPM 2022. Kejayaan saya hari ini tidak bermakna tanpa bantuan daripada anda semua,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program, Prof Dr. Norkhalid Salimin menyatakan rasa syukur dan bangga atas pencapaian murid SPM 2022 yang cemerlang dan menunjukkan peningkatan.

“Saya sangat berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat bagi melakasanakan inisiaif ini yang telah membuahkan hasil yang proaktif dan berdaya saing.

“Saya sangat bersyukur dengan pencapaian tahun ini terutama sekali dalam keputusan 100% lulus Mata pelajaran Bahasa Melayu,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, program tersebut juga memberi impak kepada murid Orang Asli tentang pentingnya pendidikan pada masa kini.

“Ini membuktikan bahawa matlamat dan objektif program ini sememangnya berjaya dibuktikan dan berkesan,” katanya.

Untuk rekod, Program empowerNCER Akademik merupakan program akademik dengan objektif menambah baik murid berprestasi rendah yang akan menduduki peperiksaan SPM.

Pendekatan dilakukan melalui peningkatan prestasi akademik dan pembangunan peribadi untuk penempatan ke institusi pengajian tinggi, TVET atau peluang keusahawanan.

Program ini juga menggunakan pendekatan serampang tiga mata yang melibatkan murid, ibu bapa dan guru.

Manakala program akademik murid Orang Asli direka khas untuk pelajar Tahun Enam dari Sekolah Murid Orang Asli terpilih.

Objektif program khas ini adalah untuk menyediakan murid ke sekolah menengah dalam aspek akademik dan peningkatan kemahiran pembangunan peribadi mereka melalui metodologi pembelajaran yang menyeronokkan dan berasaskan pengalaman.

Objektif utama program ini adalah meningkatkan dan memperkasakan murid dari keluarga B40 melalui pendekatan holistik sebagai usaha untuk mewujudkan masyarakat yang lebih seimbang dan menganuti konsep keterangkuman.

Selain itu, program ini membantu dalam mencegah miskin masa depan dengan memberi peluang untuk meningkatkan pencapaian akademik pelajar yang kurang berprestasi yang akan menduduki peperiksaan SPM dan seterusnya.

Akhir sekali, objektif program adalah untuk memastikan penempatan ke peringkat pendidikan lebih tinggi, dan untuk memastikan murid Tahun Enam Orang Asli beralih ke tingkatan satu.

Terdapat beberapa modul yang telah dibangunkan oleh guru mata pelajaran Subjek Teras dan pensyarah daripada UPSI mengikut kepakaran bidang masing-masing.

Di samping itu, program ini juga mampu mengeratkan hubungan dua hala antara pihak pelaksana dan pihak sekolah bagi memperkukuhkan lagi hubungan dan jalinan pendidikan yang terbina demi kemenjadian murid golongan B40 dan murid Orang Asli.

Hasil kesan limpahan daripada program ini, ia dapat membuka mata ibubapa dan komuniti setempat tentang pentingnya pendidikan pada masa kini.

Harapan program ini agar tiada lagi berlaku keciciran dalam akademik bagi murid SPM dan murid Orang Asli demi memastikan murid-murid ini terus berjaya pada masa hadapan dan dapat membantu diri dan keluarga mereka keluar daripada kelompok golongan B40 dan miskin tegar. – SM

BACA Peserta Program Yayasan PETRONAS empowerNCER Akademik Raih Kejayaan Cemerlang SPM 2022 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button