NasionalPolitik

Nanti orang tahu Najib tak berbohong, tak rompak 1MDB

SUARA MERDEKA: Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung 1MDB tidak diteruskan kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) bimbang kebenaran akan terbongkar.

Sejak Jun 2018, kata Najib, beliau telah berulang-kali menegaskan bahawa wujudnya satu perjanjian penyelesaian dengan IPIC yang ditandatangan pada April 2017.

“Saya berulang kali menegaskan ada terma dalam perjanjian ini di mana 1MDB akan dapat balik semua wang yang didakwa hilang sebelum 31 Disember 2020 (tahun depan),” katanya dalam hantaran di Facebook peribadi beliau.

Bagaimanapun, kata Najib, tak pernah sekalipun kerajaan PH berani kata beliau berbohong.

“Tak pernah sekalipun mereka kata tidak ada terma itu. Itulah sebab mereka tidak mahu dedahkan perjanjian itu walaupun saya telah minta banyak kali termasuk dalam parlimen.

“Itulah sebab RCI tidak dibuat walaupun ianya janji 100 hari manifesto mereka. Itulah sebab siasatan PAC ke atas 1MDB dihentikan oleh PH pada bulan November lalu walaupun ianya parlimen yang meluluskannya.

“Nanti orang tahu ada perjanjian ini dan ada terma itu. Nanti orang tahu Najib tak berbohong. Tak rompak 1MDB. Najib ikhlas untuk mendapat balik setiap sen yang didakwa hilang,” katanya.

IPIC sendiri, jelas beliau pernah membuat pengumuman bahawa memang wujud terma itu.

Mengulas lanjut, kata Najib, memang ada duit 1MDB yang hilang, tapi semua duit yang dikatakan hilang ialah selepas ia dihantar ke pemimpin-pemimpin IPIC atau dijamin oleh IPIC.

“Itulah sebab kita buat perjanjian penyelesaian dengan IPIC. Jika tak ada masalah, kenapa kita perlu menyelesaikan dengan perjanjian penyelesaian?” soal beliau.

Najib mengingatkan bahawa IPIC bukan syarikat kecil kerana ia milik kerajaan Abu Dhabi dan saiz dana mereka jauh lebih besar dari Khazanah Nasional.

“Jika kita selesaikan dengan IPIC, kita boleh dapatkan balik semua wang. Bukan hanya sebahagian kecil dari wang itu dengan cara sedikit demi sedikit melalui DOJ – iaitu jalan yang dipilih oleh PH,” katanya.

Tetapi apa yang PH buat, katanya, mereka batalkan perjanjian penyelesaian itu kerana ia lebih penting untuk teruskan propaganda bahawa Najib rompak wang 1MDB.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button