PolitikPRK

Bantu MCA menangkan demokrasi – Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – UMNO dan Pas tidak perlu bertanding di semua kerusi untuk membuktikan mereka gagah, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sebaliknya menurut Mohamed Khaled, UMNO dan Pas mesti memimpin dengan rasa tanggungjawab bagi membangunkan sinergi pelbagai aktor politik lain untuk membuktikan mereka adalah ketumbukan politik yang kuat.

Ini kerana kata beliau yang juga bekas Menteri Besar Johor, apabila UMNO dan Pas membantu dan memenangkan MCA maka yang menang bukan sahaja MCA tetapi juga UMNO dan Pas.

“Malah, ia akan menjadi kemenangan berganda untuk UMNO dan Pas,” katanya menerusi satu ulasan bertajuk Mengapa MCA dan bukan UMNO yang disiarkan dalam Facebook beliau hari ini.

Mengulas lanjut kata Mohamed Khaled, kenyataan itu berdasarkan keyakinan bahawa pertama kerana ia memberikan ruang untuk MCA demi kesepakatan Barisan Nasional (BN).

Kedua katanya, kerana tanpa UMNO dan Pas, tidak mungkin MCA akan berjaya dan ketiga, kerana UMNO dan Pas bertanggungjawab dalam tindakan mengiktiraf dan mendorong rakannya untuk berjaya, menerusi kerjasama ampuh.

“Kepada semua penyokong UMNO dan orang Melayu, musuh kita bukan MCA. Musuh kita adalah PH (Pakatan Harapan).

“Lalu jangan kita tewas sebelum bertempur kerana konflik sesama kita. Kita mesti menang dalam persaingan kita dengan PH,” katanya lagi.

Jelas Mohamed Khaled, tidak menyokong MCA akan merugikan UMNO serta Pas dalam jangka masa pendek dan panjang manakala memenangkan PH pula dilihat akan hanya memberikan hayat kepada Bersatu.

“Lalu pilihan kita hanya satu: Mematikan Bersatu di Tanjung Piai walau siapa pun wakil kita. Yang penting ialah panglimanya masih UMNO dan Pas.

“Akhirnya, jangan kita lupa bahawa kemenangan adalah tentang kerja keras. Kerja keras kita di Tanjung Piai bukan sekadar untuk memenangkan UMNO, Pas dan MCA, tetapi yang lebih utama ialah memenangkan demokrasi,” kata beliau.

(Visited 48 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button