PENYANYI rap kontroversi dan bergelar pengarah filem, Namewee dibebaskan oleh polis hari ini selepas diambil kenyataannya berhubung filem terbaharu arahannya berjudul BABI.
Namewee atau nama sebenarnya, Wee Meng Chee mengatakan bahawa dia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana tidak menangkap saya. Sekarang, kita akan melihat sama ada pendakwa akan menuduh saya. Berharap yang terbaik, ” tulisnya di Facebook.
Dia juga mengatakan bahawa dia dikehendaki oleh pihak polis sebanyak tiga kali dan dia kembali ke Malaysia secara sukarela.
Namewee berharap pihak berkuasa menghargai ketulusannya dan menambah, dia tidak perlu melarikan diri kerana tidak melakukan sesuatu yang salah.
Namewee pergi ke Taiwan Julai lalu untuk menghadiri majlis Anugerah Muzik di sana yang mana namanya telah dicalonkan bagi kategori Lagu Terbaik.
Dia menyerah diri di balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pagi tadi setelah selesai menjalani tempoh kuarantin selama tujuh hari.
Dalam catatan di Facebooknya awal hari ini, Namewee mengatakan ini adalah kali kelapan dia mengambil “inisiatif untuk bekerjasama dengan polis dalam penyelidikan sebagai pemuzik dan pembuat filem”. – SM