Najib sedih majoriti kaum Cina masih tolak MCA, BN julang DAP
BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak melahirkan rasa sedihnya terhadap sikap majoriti masyarakat Cina yang terus menolak MCA dan BN.
Najib berkata, banyak yang beliau lakukan untuk kaum Cina namun mereka tetap memilih untuk menjulang DAP.
“Bila saya imbas dan kenang kembali, ada kalanya saya sendiri berasa sedih. Tidak kira betapa banyak usaha MCA dan pemimpin Cina, sama ada NGO atau persatuan-persatuan.
“Sokongan masyarakat Cina tidak berpihak kepada MCA dan BN. Yang disokong, DAP dan politik mereka,” kata Najib.
Menurutnya, ketika menjadi Perdana Menteri, dia bukan sahaja menjadi pemimpin kaum Melayu tetapi juga Perdana Menteri kepada masyarakat Cina, Iban, Dusun, Kadazan dan semua anak-anak Malaysia.
Najib turut memperkenalkan prinsip pentadbiran 1Malaysia yang memberi kesaksamaan dalam ekonomi, perniagaan, pendidikan, biasiswa dan kebajikan.
Jelas Najib, pintu pejabat MCA atau mana-mana komponen parti BN sentiasa dibuka luas seluruh negara kepada semua kaum untuk khidmat masyarakat dan mendapatkan pandangan rakyat.
“UTAR, pendidikan sekolah Cina, BR1M, biasiswa dan sebagainya. Kami keluarga besar BN, kami suara rakyat. MCA dan saya berusaha membantu. Tiada kuota. Tiada diskriminasi. Hanya 1Malaysia.
“Tidak cukup kemasukan universiti? Saya tambahkan untuk semua anak-anak Malaysia. Tidak cukup biasiswa? Saya cuba berikan.
“Tidak cukup BR1M? Tanyalah Kementerian Kewangan dahulu arahan saya apa, Jangan terlalu keras dengan syarat BR1M. Kita mampu dan kita kena ikhlas bantu orang susah. Tidak kira kaum, semua kita tolong,” kata Najib.
Malah menurut Najib, beliau selalu mengadakan konsultasi dengan pemimpin masyarakat, ketua-ketua dewan perniagaan, wakil-wakil persatuan peniaga kecil, kontraktor dan sebagainya.
Kepimpinan MCA dan pemimpin masyarakat Cina juga selalu berjumpa dengannya untuk memberikan input.
“Malah, input mereka bukan bersifat perkauman. Mereka perjuangkan isu dan keperluan rakyat semua. Projek-projek pembangunan, projek-projek pengangkutan dianugerahkan secara adil.
“Bawah saya dan Presiden MCA merangkap Menteri Pengangkutan ketika itu. Tidak bermakna bumiputera diabaikan,” jelas Najib.
Dalam keterbukaanya terhadap kaum Cina, Najib cukup menyedari dia menjadi sasaran orang Melayu bila ada yang menuduhnya melebihkan masyarakat Cina.
Pun begitu, selepas melakukan yang terbaik untuk masyarakat itu, sebilangan besar kaum Cina masih menjulang DAP.
“Kita cuba berikan sebahagian projek pembangunan berasaskan dasar ‘Carve Out & Compete’ untuk Bumiputera juga, diberi atas kebolehan masing-masing.
“Saya dengar, saya usahakan. Setiap seorang daripada anak-anak Malaysia, saya tidak mahu ada sesiapa pun ketinggalan. Namun, akhirnya DAP juga dijulang,” kata Najib.
Najib meminta agar masyarakat melihat prestasi DAP selepas parti itu menang Pilihan Raya Umum ke-14 dan diberi peluang untuk memerintah.
“Ekonomi? Hancur. Pekerjaan? Semakin berkurang. Bantuan? Dipotong. Pendidikan? Dipolitikkan dan dikurangkan lagi.
“Kini kes rasuah dan salah guna kuasa DAP timbul satu demi satu. Saya selalu beritahu pemimpin BN, MCA, komponen parti lain dan para penyokong kita. Jangan putus asa. Satu hari nanti, dengan keikhlasan dan usaha kita sendiri, rakyat akan terima kita,” kata Najib.
Bagaimanapun Najib berasa lega kerana semakin ramai anak muda berwibawa dari golongan profesional menyertai Barisan Nasional dan diberi peluang untuk menjadi pemimpin parti.
Beliau berharap momentum sokongan anak muda wajar diteruskan dengan panduan atau nasihat daripada veteran berpengalaman.
“Saya percaya, kita mampu berikan yang terbaik kepada rakyat. Di PRK Slim, saya berharap semua kaum dan penduduk dapat memberikan dan tingkatkan sokongan kepada BN.
“BN parti yang membela rakyat dan membawa pembangunan secara saksama,” kata Najib.-SM