Politik

Najib sanggah Wan Saiful, ada beza guna wang KWSP dan KWAN

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan logik Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan bahawa penggunaan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) sama seperti pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Najib yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, ada perbezaan pengeluaran KWSP oleh rakyat dengan penggunaan dana KWAN oleh Kerajaan.

“Tapi ada bezanya. Sebab Rakyat biasa tak pinjam sekitar RM85 bilion termasuk RM5.4 bilion dari pinjaman asing Sukuk Hijau dibuat minggu lepas dalam tempoh 4 bulan sejak Darurat bermula,” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu mempersoalkan mengapa kerajaan masih mahu menggunakan dana KWAN selepas melakukan pinjaman berjumlah RM85 bilion dan mendapat hasil daripada penjualan beberapa aset negara.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana kerajaan menggunakan Bajet 2021 berjumlah RM3 bilion yang telah diluluskan untuk pembelian vaksin.

“Jawapan kerajaan PN ini juga tidak menjawab persoalan-persoalan utama. Kenapa masih perlu kikis tabung simpanan masa depan negara jika sudah meminjam RM85 bilion dan menjual banyak aset dalam tempoh 4 bulan sejak permulaan tahun?

“Ke mana perginya bajet asal RM3 bilion diluluskan dalam bajet 2021 yang kerajaan kata sudah cukup untuk membeli vaksin untuk 85 peratus penduduk?

“Ke mana perginya peruntukan tambahan RM2 bilion yang menjadikan jumlah bajet bagi vaksin sebanyak RM5 bilion yang diumumkan PM8 pada bulan Mac?” tanya Najib.

Sebelum ini, kerajaan mewartakan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021 (KWAN) yang membolehkan kerajaan menggunakan dana kumpulan wang itu untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan program imunisasi kebangsaan.

Mengikut Akta KWAN 1988, dana berkenaan dibayar melalui Kumpulan Wang Disatukan dan PETRONAS.

Dalam satu kenyataan semalam, Wan Saiful berkata, penggunaan dana KWAN) sama seperti pengeluaran KWSP.

Justeru beliau meminta Masyarakat dinasihatkan berhati-hati dalam membaca komen-komen dari ‘kluster merungut’ berkenaan tindakan kerajaan membenarkan pengeluaran dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN).

Wan Saiful berkata, bantahan dari kluster yang diketuai oleh ahli-ahli politik itu dilihat tidak konsisten dengan apa yang mereka suarakan sebelum ini.

“Hari ini mereka merungut mengenai pengeluaran dana KWAN sebab kononnya KWAN adalah untuk masa depan.

“Padahal mereka ini lah yang dulu merungut menuntut KWSP boleh dikeluarkan. Masa itu, mereka guna alasan tiada faedah jaga masa depan jika hari ini tak boleh jaga rakyat.

“Tapi sekarang terlupa pula hujah itu. Agaknya, terlalu sibuk cari topik untuk merungut hingga tidak sedar bahawa rungutan mereka dah jadi tidak konsisten langsung,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.-SM

(Visited 396 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button