Najib nasihat Shafie lupakan Sabah, fokus jadi PM
BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menasihatkan Ketua Menteri Sabah Mohd. Shafie Apdal agar tidak terlalu bimbang dengan hal negeri Sabah.
Sebaliknya, Najib meminta agar Shafie memberi fokus terhadap pejuangan untuk menjadi perdana menteri bagi Pakatan Harapan Plus.
“Tak payah lah kamu bimbang sangat hal Sabah. Boss kamu PM7 dah bongkar kamu tak mengaku diri sebagai orang Sabah 100% Ori.
“Buat apa hang masih mahu rebut jawatan Ketua Menteri setelah kerajaan Sabah kamu dah tumbang? Lebih elok kamu fokus pada perjuangan kamu menjadi Perdana Menteri PH Plus,” kata Najib.
Sebelum ini dalam satu wawancara Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Shafie bukanlah sepenuhnya orang Sabah.
Ini kerana Ketua Menteri Sabah itu telah berkahwin dengan wanita Kedah. Malah anaknya juga berkahwin dengan pasangan dari Semenanjung.
“Dia tidak pernah melihat dirinya sebagai 100 peratus orang Sabah,” kata Dr. Mahathir dalam rakaman video tersebut.
Wawancara itu berlangsung apabila nama Shafie disebut-sebut sebagai calon perdana menteri bagi Pakatan Harapan plus.
Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) hari ini mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah.
Menurut Shafie, permohonan pembubaran itu sudah diperakukan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, pagi ini.
“Saya berjumpa dengan Tun pagi ini dan atas kuasa Tun mengikut Perlembagaan Sabah beliau bersetuju (pembubaran DUN Sabah).
“Perakuan ini bagi membolehkan pilihan raya negeri dikendalikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 60 hari.
“Kita serahkan balik mandat kepada rakyat untuk menentukan siapa yang layak membentuk kerajaan negeri yang baharu. Saya yakin rakyat akan membuat keputusan yang bijak.
“Berikutan itu, cerita pasal apa saja angka dan nombor, angkat sana, angkat ini, DUN sudah terbubar,” katanya.-SM