Berita

Najib akan failkan saman fitnah terhadap Tommy Thomas, penerbit – Peguam

Datuk Seri Najib Tun Razak akan memfailkan saman terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas berhubung dakwaan kenyataan fitnah di dalam buku yang diterbitkan baru-baru, My Story: Justice in the Wilderness yang mengaitkannya dengan pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Perkara itu disahkan oleh peguam bekas perdana menteri Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika dihubungi Bernama.

“Ya, kami akan menyaman beliau bagi pihak anak guam kami. Semalam, Thomas telah memberi jawapan kepada surat tuntutan (LOD) kami …. beliau menyangkal memfitnah anak guam kami.

“Penerbitnya, GB Gerakbudaya Enterprise Sdn Bhd belum menjawab LOD kami. Kami akan mengemukakan saman fitnah terhadap Thomas dan penerbit secepat mungkin,” kata Muhammad Shafee.

Pada 2 Feb lepas, Najib melalui peguamnya Shafee & Co, menuntut permohonan maaf dan ganti rugi sebanyak RM10 juta dari Thomas kerana mendakwa telah memfitnah beliau di dalam buku yang ditulis bekas peguam negara itu.


Dalam surat itu, Najib menuntut jawapan yang memuaskan daripada Thomas sebelum pukul 12 tengah hari Jumaat dan menyatakan, bahawa sekiranya Thomas gagal melakukannya, prosiding undang-undang akan dimulakan awal minggu depan.

Beliau juga menuntut agar kenyataan itu ditarik balik dengan jelas daripada buku itu dan permohonan maaf sepenuhnya bagi fitnah di dalam bab 42 di bawah tajuk “Altantuya”.

Dokumen itu turut menyebut bahawa dengan inferens dan sindiran yang jelas, Thomas telah menghantar mesej bahawa beliau, sebagai AG dan Pendakwa Raya ketika itu, berpuas hati dengan kebenaran dakwaan dua individu yang telah disabitkan bahawa Najib terlibat dalam mengarahkan mereka membunuh Altantuya.

Surat itu juga menyatakan bahawa kenyataan tersebut adalah jelas bermotifkan mala fide (niat jahat) dan secara prinsipnya dilakukan demi kepentingan diri Thomas dalam mencari publisiti murahan yang didorong oleh egonya, sensationalisme dan keuntungan.

— BERNAMA

(Visited 337 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button