Nabila Razali sah beraksi di Anugerah Juara Lagu 35
PASTI ramai yang ingat dengan kejadian ‘terkucil’ yang dialami Nabila Razali ketika menyanyikan lagu Peluang Kedua di sebuah program yang disiarkan di televisyen.
Perkara yang tidak disengajakan itu menjadi bualan netizen sehingga Nabila sendiri mengakui yang emosinya terganggu.
Namun, kesilapan yang tidak disengajakan Nabila itu bagaimanapun tidak mempengaruhi nilai lagu tersebut sehingga tercalon ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik.
Bagaimanapun, wanita itu memilih untuk tidak menyanyikan lagu tersebut dan menyerahkan tugas itu kepada penulis lirik lagu tersebut, Hael Husaini unuk menyanyikannya.
Nabila memberitahu sebelum ini yang dia tidak dapat membuat persembahan kerana faktor kesihatan dan perlu berehat.
Sejak itu bermulalah teka teki sama ada Hael yang akan terus memikul tanggungjawab itu atau Nabila sendiri yang akan memilih untuk menyanyikan lagu tersebut.
Ternyata, Hael menerusi satu ciapan di akaun Twitter miliknya memberitahu yang Nabila sendiri akan menyanyikan lagu tersebut di AJL 35.
Jadi, tidak perlulah berteka teki mengenai siapa yang bakal menyanyikan lagu tersebut dan kita nantikan sahajalah Nabila membawa lagu itu.
Semestinya lagu ini bakal menguji kemampuan Nabila untuk membawanya sebaik mungkin dan netizen juga akan memerhati.
Jika berjaya membawa lagu ini, Nabila akan mendapat peluang kedua dan jika kesilapan sama berulang, maka berduyunlah netizen yang akan ‘menghencap’.-SM