MyCC, MCMC perkukuh kerjasama menerusi memorandum persefahaman
SURUHANJAYA Persaingan Malaysia (MyCC) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang menandakan satu langkah penting ke arah mengukuhkan lagi hubungan kerjasama antara kedua-dua badan kawal selia.
Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di Auditorium Azman Hashim, Bangunan AICB di ibu negara ini menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi kedua-dua pihak untuk terus bekerjasama dalam menangani isu persaingan yang semakin kompleks yang merangkumi bidang kuasa kedua-dua badan kawal selia.
MyCC dan MCMC telah secara konsisten bekerjasama untuk memastikan persaingan dalam pasaran bagi melindungi kebajikan pengguna.
Kerjasama paling signifikan adalah tindakan penguatkuasaan bersama MyCC dan MCMC dalam menangani
pengaturan eksklusif antara penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan pemaju hartanah atau badan pengurusan bersama di bangunan kediaman bertingkat berikutan aduan yang diterima daripada orang awam. Satu lagi bidang kerjasama adalah dalam menangani isu persaingan yang berkaitan dengan platform e-dagang dan penyedia perkhidmatan kurier.
Majlis menandatangani MoU ini merintis jalan bagi kerjasama berstruktur di antara MyCC dan MCMC. Ini termasuk memperkukuhkan kerjasama, aktiviti advokasi, pembangunan kapasiti, serta kerjasama dalam penyiasatan dan tindakan penguatkuasaan bersama.
Selain itu, kedua-dua pihak juga saling membantu antara satu sama lain dalam fungsi masing-masing yang akhirnya memberi manfaat kepada kedua-dua badan pengawal selia.
MoU ini telah ditandatangani oleh Pengerusi MyCC, Datuk’ Seri Mohd Hishamudin Yunus dan Ketua Pegawai Operasi MCMC, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus.
Majlis tersebut disaksikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Senator Fuziah Salleh, Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail.
Ini membuktikan komitmen kerajaan untuk meningkatkan keberkesanan dasar ekonomi dan seterusnya melindungi kepentingan pengguna di negara ini menerusi dasar persaingan dan penguatkuasaan.
Sebelum Majlis Menandatangani MoU ini diadakan, MyCC dan MCMC telah menganjurkan forum bertajuk “Memperkukuh Dasar Perindustrian Melalui Persaingan” yang menampilkan pakar-pakar dalam bidang berkaitan.
Para penceramah dan peserta yang terlibat dalam perbincangan yang membina ini bertukar pandangan berhubung persaingan sihat yang dapat memberi manfaat kepada pasaran dan pengguna.
Forum tersebut turut dihadiri oleh pihak berkepentingan MyCC dan MCMC. – SM