Nasional

SKMM sekat 6,381 laman sesawang judi dalam talian antara 2020 hingga akhir 2022

SUSULAN gesaan oleh sebuah persatuan pengguna agar platform perjudian dalam talian dikawal selia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa komited dalam menyokong tindakan penguatkuasaan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha untuk membanteras kegiatan judi dalam
talian yang tertakluk di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Akta 289).

Dalam hal ini, pihak PDRM menjalankan tindakan dan penguatkuasaan manakala pihak SKMM pula berperanan dalam memberikan bantuan  teknikal kepada PDRM termasuklah pembekalan maklumat dan sekatan laman sesawang berunsur perjudian berdasarkan permohonan daripada pihak PDRM.

Bagi tempoh antara 2020 sehingga akhir 2022, pihak SKMM telah menyekat sejumlah 6,381 laman sesawang judi dalam talian, berdasarkan kepada permohonan rasmi daripada pihak PDRM atas kesalahan di bawah Akta 289.

Manakala, sejumlah 212,399 talian telefon termasuk talian mudah alih dan tetap yang menghantar spam SMS meragukan seperti mempromosikan judi dalam talian, pinjaman tidak berlesen dan lain-lain telah ditamatkan perkhidmatannya bermula 2020 sehingga 2022.

Selain tindakan penguatkuasaan (pendakwaan/sekatan), kesedaran diri, pendidikan serta kawalan kendiri adalah kunci dalam usaha membanteras perjudian dalam talian.

Pengguna secara umum juga boleh memainkan peranan untuk turut sama dalam usaha menyekat aktiviti promosi judi dalam talian, antaranya dengan melaporkan kepada pihak SKMM promosi iklan-iklan judi yang diterima melalui SMS supaya pembatalan talian dapat dilaksanakan dengan kerjasama syarikat penyedia
perkhidmatan telekomunikasi.

Sekiranya pengguna menerima iklan judi melalui aplikasi pesanan ringkas seperti WhatsApp dan media sosial seperti Facebook, laporkan nombor talian atau akaun media sosial tersebut kepada penyedia perkhidmatan
aplikasi atau penyedia platform media sosial supaya nombor/akaun tersebut tidak dapat menghantar iklan promosi judi dalam talian kepada pengguna yang lain. – SM

(Visited 198 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button