Sukan

Musa Hitam puji keupayaan Johor bina velodrom berkelas dunia

USAHA gigih Kerajaan Negeri Johor menerusi anak syarikat Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd (KPRJ) bagi membina fasiliti dan kelengkapan sukan berkelas dunia untuk meningkatkan kualiti sukan di negeri itu mendapat pujian daripada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam.

Beliau berkata, kebolehan dan keupayaan Kerajaan Negeri di dalam membangunkan Velodrom Johor dan Trek BMX di Iskandar Puteri menunjukkan bahawa Johor benar-benar serius di dalam melahirkan bakat baharu sukan berbasikal, selari dengan visi mereka untuk muncul sebagai kuasa sukan era baharu.

“Saya mengambil keputusan untuk melawat velodrom ini selepas banyak mendengar khabar daripada rakan-rakan mengenai sebuah bangunan yang tersergam indah di Iskandar Puteri,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Velodrom Johor dan Trek BMX di Iskandar Puteri, semalam.

Tambahnya, meskipun Sukan Malaysia (Sukma) XX Johor 2020 terpaksa ditunda, usaha Kerajaan Negeri membina dan menyiapkan velodrom itu wajar dipuji dan beliau berharap kemudahan tersebut dapat digunakan bukan sahaja untuk pertandingan peringkat kebangsaan tetapi juga antarabangsa.

Beliau juga mengharapkan agar lebih ramai lagi bakat-bakat baharu di dalam sukan berbasikal dapat dilahirkan bagi mengharumkan nama negara pada masa akan datang.

Velodrom Johor yang terletak di kawasan seluas 2.54 hektar itu mempunyai trek sepanjang 250 meter mengikut piawaian Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) serta mampu menampung seramai 700 penonton.

Sementara itu, Pengurus Besar Perbadanan Stadium Johor, Gadaffie Aziz menzahirkan ucapan terima kasih di atas kesudian Musa mengadakan kunjungan ke Velodrom Johor yang menjadi mercu tanda baharu di negeri itu.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Tun Musa Hitam di atas kesudian beliau untuk hadir melihat sendiri perkembangan Velodrom Johor ini.

“Sebagai rakyat negeri Johor, saya pasti beliau juga amat bangga melihat pencapaian ini dan kita akan menggunakan Velodrom ini sebaik mungkin,” ujarnya.

Gadaffie yang juga merupakan Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor menjelaskan, pelbagai acara sukan akan dianjurkan di Velodrom Johor dan Trek BMX itu bagi memastikan gelanggang tersebut digunakan sebaik mungkin menjelang Sukma Johor 2020 yang telah dijadualkan semula pada 2022.

Pertandingan tersebut bakal melibatkan beberapa pasukan berbasikal negeri.

Menurutnya, terdapat beberapa permintaan daripada pasukan berbasikal antarabangsa untuk menggunakan Velodrom Johor sebagai pusat latihan sebelum terbang ke Tokyo untuk Sukan Olimpik 2021.

“Pada masa yang sama, pihak kami juga menerima permohonan secara tidak rasmi daripada pasukan kebangsaan Poland dan Mexico yang berhasrat untuk berlatih di Velodrom Johor sebagai persiapan ke Sukan Olimpik Tokyo tahun hadapan,” katanya. – SM

(Visited 302 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button