Nasional

Mulai esok keluar dari Sabah tidak perlu kuarantin jika negatif Covid-19

MULAI esok pengembara yang tiba dari Sabah hanya perlu menjalani swab ujian pengesanan Covid-19 tiga hari sebelum berlepas dari Sabah ke negeri lain di Malaysia.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, keputusan tersebut telah dibincangkan di Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bersidang semalam.

Menurutnya, semakan semula prosedur saringan kesihatan bagi pengembara dengan sejarah perjalanan pulang dari Sabah telah mengambil kira situasi semasa.

“Sekiranya mereka ini positif ujian pengesanan Covid-19 atau sekiranya bergejala, mereka tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan keluar dari Sabah.

“Bagi yang positif COVID-19, mereka akan dirujuk ke hospital untuk isolasi, rawatan dan pemantauan. Manakala bagi individu yang bergejala akan dirujuk untuk menjalani pemeriksaan,” kata Dr. Adham.

Jelas beliau, bagi pengembara yang dibenarkan meneruskan perjalanan keluar dari Sabah mereka akan melalui saringan demam dan gejala, pemeriksaan laporan ujian swab pengesanan Covid-19.

Individu terbabit juga diwajibkan penggunaan MySejahtera setibanya di pintu masuk negara di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Sekiranya mereka tidak bergejala dan laporan ujian makmal COVID-19 disahkan negatif pengembara ini tidak lagi perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.

Sementara itu Dr. Adham berkata, berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan ke atas situasi kejadian kes Covid-19 di Malaysia didapati jumlah kes menunjukkan trend penurunan bagi negeri Sabah berbanding trend yang dilaporkan di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia terutama di sekitar Lembah Klang.

“Merujuk kepada laporan mingguan kes positif COVID-19 pada minggu ke-43 tahun 2020, jumlah kes baharu dilaporkan di Sabah adalah 4548 berbanding jumlah kes mingguan di Lembah Klang (Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya) yang berjumlah 821 kes positif COVID-19.

“Namun begitu pada minggu epid ke-47, jumlah kes baharu di Sabah adalah 3073 iaitu menunjukkan penurunan sebanyak 32.4%, berbanding Lembah Kelang sebanyak 3041 kes iaitu peningkatan sebanyak 270%,” kata Dr. Adham.

Kerajaan menguatkuasakan langkah kuarantin selama 14 hari terhadap pengembara dari Sabah sebelum memasuki negeri lain di Malaysia bermula pada 11 Oktober lalu selepas berlaku peningkatan mendadak kes Covid-19 di negeri tersebut.-SM

(Visited 183 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button