Nasional

Muhyiddin Yassin masih di SPRM Putrajaya beri keterangan

HARI ini, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berada di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya bagi memberi keterangan berhubung program Jana Wibawa.

Spekulasi tertebaran sejak semalam, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) ditahan SPRM semalam ketika sedang bermain golf di sebuah kelab golf di Selangor.

Bagaimanapun tebakan penahanan Muhyiddin itu disangkal oleh seorang pegawai beliau dan hari ini, Muhyiddin berada di SPRM.

Meneropong spekulasi-spekulasi yang dibuat terhadap Muhyiddin, pemimpin Bersatu tidak akan bersetuju jika bos mereka ingin meletak jawatan sebagai Presiden Bersatu.

Pendirian itu diperkuatkan oleh Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris.

“Muhyiddin tidak perlu meletakkan jawatan sebagai Presiden Bersatu walau pun dijangka didakwa di mahkamah esok,” kata ketua penerangan parti itu hari ini.

TAN SRI Muhyiddin Yassin tiba di bangunan ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini bagi memberi keterangan berkaitan Program Jana Wibawa. – GAMBAR FMT

Apa yang diperkatakan oleh Razali itu ada logiknya kerana Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang diheret ke mahkamah atas 47 pertuduhan salah guna kuasa dan rasuah, tetap kekal sebagai Presiden parti.

Dan hari ini, Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memimpin Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November tahun lepas.

Razali percaya pimpinan Bersatu tidak akan bersetuju jika Muhyiddin ingin meletak jawatan.

“Tak munasabah untuk beliau letak jawatan. Kalau beliau nak letak jawatan pun kita tak setuju. Ini tuduhan politik,” katanya seperti mana dilaporkan oleh FMT.

Muhyiddin yang ketika ini masih lagi berada di ibu pejabat SPRM di Putrajaya dijangka didakwa esok, lapor Berita Harian yang memetik Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Kehadiran Muhyiddin di SPRM dipercayai berkaitan siasatan badan anti-rasuah itu berhubung program Jana Wibawa.

Razali yang baharu dilantik menggantikan Datuk Wan Saiful Wan Jan menjangkakan Muhyiddin akan ditahan.

Wan Saiful dihadapkan ke mahkamah baru-baru ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta.

Penahanan Wan Saiful juga ada kaitan dengan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta tahun lalu.

Pendakwaan itu menyusuli pembekuan akaun milik parti Bersatu untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram.

Razali menjelaskan, tuduhan berkenaan membabitkan akaun parti maka bukan Muhyiddin seorang sahaja yang bertanggungjawab.

“Kalau fikir nak letak jawatan, habis semualah kena letak jawatan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Faiz Na’aman berkata, tiada masalah sekiranya Muhyiddin terus menggalas jawatan Presiden Bersatu.

“Selagi belum dibuktikan bersalah oleh mahkamah, tidak perlu letak jawatan,” katanya. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button