fbpx
Nasional

Muhyiddin turun padang dengar luahan rakyat

“BANYAK cerita dan luahan yang saya dengar daripada mereka. Lawatan ini banyak memberi maklumat kepada saya mengenai kehidupan warga kota atau golongan miskin bandar.

“Kebanyakan mereka berniaga kecil-kecilan, bekerja sebagai pemandu teksi dan lori serta ramai juga yang membuat kerja sendiri untuk meneruskan kehidupan mereka.

“Saya yakin, kesemua mereka menginginkan kehidupan lebih baik. Bagaimanapun, terdapat pelbagai kekangan yang terpaksa mereka lalui,” itu kata Perdana Mentei, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebooknya.

Kata-kata itu merujuk kepada lawatan serta tinjauan beliau ke beberapa rumah penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak, pagi tadi.

Dalam tinjauan itu Perdana Menteri singgah menjenguk dua warga emas berusia 78 tahun, Chan Kam dan B Danalachimi serta pasangan suami isteri orang kurang upaya (OKU), Rosali Md Nasid dan Artinie Besah.


Beliau turut singgah bersarapan di gerai Che Nah di medan selera dan beramah mesra dengan penduduk PPR di situ.

Menurut Muhyiddin, selepas mendengar luahan mereka, beliau percaya banyak lagi yang boleh dilakukan kerajaan serta agensi kerajaan dalam memastikan golongan itu terbela.

Katanya, ini bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan sama ada dari aspek ekonomi, pendidikan atau sosial.

Beliau berkata, ini termasuk menambah baik pusat komuniti setempat dengan aktiviti menambah kemahiran, keusahawanan dan memperkasa pendidikan anak-anak mereka untuk menjamin kesejahteraan pada masa depan.

Beliau turut melahirkan rasa bangga kerana ramai rakyat yang rajin dan bersungguh-sungguh berusaha membina kehidupan lebih baik, selain ada antara mereka melakukan hingga tiga kerja sehari bagi menambah pendapatan keluarga.

“Ada yang memandu teksi dan Grab. Ada yang menghantar makanan. Ada juga membuat kerja sambilan di luar waktu bekerja mereka.

“Saya akan berusaha untuk memastikan mereka ini tidak dipinggirkan malah perlu lagi dibantu,” katanya.

Kerajaan katanya, akan sentiasa menjadikan agenda membantu rakyat sebagai keutamaan dan akan terus mencari pelbagai kaedah bagi membantu meningkatkan taraf hidup golongan mereka.

“Sama-sama kita berusaha untuk membina Malaysia yang lebih baik,” katanya. -SM

(Visited 5 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button