MahkamahNasional

Muhyiddin mohon kes salah guna kuasa pindah ke Mahkamah Tinggi

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram yang dikenakan terhadapnya berkaitan dengan program Jana Wibawa didengar di Mahkamah Tinggi.

Rosli Dahlan, anggota pasukan guaman Muhyiddin berkata, permohonan difailkan pada 27 April lalu untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen kerana ia melibatkan beberapa isu Perlembagaan.

Menurut Rosli, pihak pembelaan berhasrat mencabar keperlembagaan pelbagai peruntukan dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 semasa prosiding.

“Memandangkan isu undang-undang dan fakta yang rumit akan dibangkitkan, lebih wajar kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Nur Azizah Jaafar dan dilaporkan oleh FMT.

Rosli berkata, permohonan untuk memindahkan kes itu dibuat oleh pihak pembelaan memandangkan pihak pendakwaan tidak memulakannya sendiri.

“Dalam semua kes rasuah bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, pihak pendakwaan memfailkan perakuan untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi (untuk) perbicaraan,” katanya.

Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan yang dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi.

Muhyiddin yang juga Presiden parti Bersatu didakwa melakukan empat kesalahan salah guna kuasa di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 8 Februari dan 20 Ogos 2021.

Sebagai perdana Menteri ketika itu, beliau didakwa menerima RM232.5 juta dan mengubah RM200 juta secara haram, kesalahan yang menjadi subjek tiga tuduhan.

Rosli berkata, Nur Azizah memberikan pihak pendakwaan masa hingga 29 Mei ini untuk memfailkan afidavit sebagai jawapan kepada permohonan pemindahan kes oleh pihak Muhyiddin.

Pengurusan kes akan diadakan pada 31 Mei nanti.

Program Jana Wibawa diperkenalkan pada November 2020 oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin sebagai inisiatif rangsangan Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera.

Kontroversi tercetus selepas Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kos beberapa projek terlalu tinggi dan ia dianugerahkan tanpa melalui proses tender.

Pada 19 April lalu, Muhyiddin turut memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan tuduhan salah guna kuasa atas alasan tuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM itu tidak menunjukkan berlaku sebarang kesalahan.

Beliau mahu semua prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonan itu.

Pada sidang pengurusan kes hari ini, Timbalan Pendaftar Nur Shafini Mustafha memberi pihak pendakwaan masa hingga 22 Mei ini untuk memfailkan afidavit sebagai jawapan.

Beliau juga menetapkan pengurusan kes pada 12 Jun.

Hisyam Teh Poh Teik

Hisyam Teh Poh Teik (Ketua Peguam atau Peguam utama), K Kumaraendran, Chetan Jethwani, Amer Hamzah Arshad dan Kee Wei Lon mewakili Muhyiddin selaku peguam dalam kedua-dua pengurusan kes.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, Noralis Mat dan Nor Asma Ahmad tampil bagi pihak pendakwaan. – SM

BACA PAUTAN Hisyam Teh Poh Teik ketuai 12 peguam bela Muhyiddin

BACA PAUTAN Muhyiddin Yassin dijangka didakwa di mahkamah esok

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button