Politik

Muhyiddin masih lagi Perdana Menteri

PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, masih lagi seorang Perdana Menteri walaupun mempunyai 110 sokongan Ahli Parlimen.

Beliau masih lagi menjawat jawatan tertinggi kuasa eksekutif itu kerana soal jumlah sokongan terhadapnya hanya boleh dibuat melalui sidang Dewan Rakyat.

Walaupun terdapat pelbagai pihak mula menyatakan jumlah sokongan yang diperolehinya kini iaitu 110 berbanding sepatutnya iaitu 111 dengan mengambil kira dua kerusi kosong.

Namun, perkara itu hanyalah persepsi sehinggalah ia dibuktikan melalui usul undi percaya atau tidak kepada beliau sama ada benar kehilangan majoriti ataupun sebaliknya dalam Dewan Rakyat.

“Situasi sekarang dialami Kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah tidak sama seperti yang berlaku ketika bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.


“Ketika itu, Dr. Mahathir meletakkan jawatan dan negara ketiadaan seorang Perdana Menteri untuk mentadbir negara dan seseorang yang diyakini mendapat sokongan perlu dipilih sebagai pengganti.

“Dalam hal ini, Muhyiddin tidak meletakkan jawatan. Jika perlu, beliau boleh mengusulkan kepada Speaker Dewan Rakyat untuk memanggil sidang tergempar.

“Namun perkara itu semstinya tidak akan beliau lakukan.”

Demikian ulasan peguam dan penganalisis politik, Ahmad Fakhri Abu Samah ketika dihubungi Suara Merdeka hari ini.

Tambah beliau, Yang di-Pertuan Agong juga tidak perlu memanggil Perdana Menteri dan menasihatkannya untuk meletakkan jawatan.

Ini kerana Agong dikatakan tidak akan mencampuri urusan pentadbiran eksekutif.

AHMAD FAKHRI ABU SAMAH

Walau bagaimanapun, beliau memberitahu apa pun cadangan yang diberikan oleh pelbagai pihak, pokoknya adalah tindakan daripada Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh.

Ini kerana, menurutnya Muhyiddin tidak mungkin akan mengambil tindakan yang boleh menyebabkan kerajaan terbubar ketika negara sedang berhadapan pandemik dan implikasi ekonomi.

“Beliau boleh memanggil sidang khas (Dewan Rakyat), Ahli Parlimen lain pun boleh mengusulkan sedemikian, namun tertakluk kepada keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk membenarkan ataupun tidak.

“Tetapi, mustahil untuk Muhyiddin mulakan usul, kerana ia dipercayai akan mengundang kemarahan rakyat.

“Rakyat sekarang masih belum bersedia untuk berhadapan Pilihan Raya Umum terutama dalam keadaan kes pandemik Koronavirus (Covid-19) yang meningkat.

“Tindakan ke arah itu akan menyebabkan kemarahan rakyat dan akhirnya Bersatu sendiri akan kehilangan sokongan kerana membiarkan rakyat,” jelasnya.

Sebaga makluman, semalam Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub mengumumkan menarik sokongan kepada Kerajaan PN.

Hal demikian didakwa boleh menyebabkan kerajaan pimpinan Muhyiddin tumbang kerana kehilangan majoriti kerana memiliki cuma 110 sokongan berbanding 220 Ahli Dewan Rakyat. – SM

(Visited 634 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button