Politik

Muhyiddin adakan pertemuan tertutup dengan PN Perlis

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat mengadakan perjumpaan dengan jawatankuasa Badan Perhubungan Negeri (BPN) Perikatan Nasional (PN) Perlis di sebuah hotel, di sini.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menghadiri perjumpaan secara tertutup itu yang berlangsung selama dua jam dan turut dihadiri Pengerusi BPN Perlis Mohd Shukri Ramli.

Perjumpaan itu antara lain bertujuan mengesahkan pelantikan jawatankuasa BPN Perlis yang dibuat baru-baru ini selain berkongsi pandangan mengenai situasi semasa dalam negara.

Mohd Shukri yang ditemui pemberita sebaik selesai perjumpaan itu memaklumkan, perdana menteri menyampaikan amanatnya dan menekankan mengenai kepentingan untuk menyelesaikan permasalahan rakyat dalam menghadapi situasi Covid-19 ketika ini.

“Tan Sri (Muhyiddin) banyak menekankan permasalahan rakyat. Bagaimana kita harus membantu rakyat menghadapi Covid-19. Hasrat perdana menteri untuk memastikan kekangan ekonomi yang dihadapi rakyat dapat diselesaikan.

“Perdana menteri turut menekankan mengenai penyatuan ummah untuk memastikan kekuatan pentadbiran kerajaan di peringkat pusat,” kata Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis.

Pada Jumaat, Muhyiddin yang dalam lawatan kerja sehari ke negeri ini mendengar taklimat pembangunan negeri yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man sebelum menghadap Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid di Istana Arau.

Beliau mengakhiri lawatan kerja dengan melawat Pusat Vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Kampung Gial, di sini. -Bernama

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button