Muhammad Adif Haikal sukar digugat
Pemain skuad Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN 2022, Melaka, Muhammad Adif Haikal Md. Hazan, 14, muncul juara kategori A pada Kejohanan Golf Terbuka Junior bagi usia 16 hingga 18 tahun di Kelab Golf Tiara & Country baru-baru ini.
Muhammad Adif Haikal yang turut menjuarai Kejohanan UUMISM-Sports Excel bawah 15 tahun di Kelab Golf Ayer Keroh & Country (AKCC) minggu lalu melakar catatan 149 pukulan sepanjang dua hari kejohanan berlangsung.
Wan Muhammad Danial Wan Zain pula berada di tempat kedua dengan catatan 158 pukulan dan Muhammad Nur Aiman Mohd. Nazri di kedudukan ketiga melakar 159 pukulan pada kejohanan anjuran Committee Tiara golf & Country.
Bagi kategori B usia 13 hingga 15 tahun, Park Woo Ju dari Korea Selatan muncul juara dengan catatan 148 pukulan diikuti Ezekiel Hafi Suzearitz di tempat kedua (151) dan ketiga menjadi milik Bryan Yow Chong You (185).
Azka Azfar Saiful Azhari pula muncul juara kategori C bagi usia 10 hingga 12 tahun apabila melakukan catatan 146 pukulan dikuti Nexus Khoo Yong Hao (166) dan Wong Khai Zen di tempat ketiga (168).
Sementara itu bagi kategori D bawah usia sembilan tahun bermain sebanyak sembilan lubang dimenangi Allen Fong dengan catatan 86 pukulan.
Anak kepada bekas pemain profesional negara Mohd. Shaaban Husin, Aqil Fahmi muncul naib juara dengan catatan 91 pukulan dan tempat ketiga menjadi milik Muhammad Rayyan Aiman dengan catatan 100 pukulan.
Bagi kategori C perempuan pula dimenangi Ma Li Wen dengan catatan 216 pukulan dan tempat kedua pula menjadi milik V. Jaikaarthiga dengan 223 pukulan.
Bagi kategori D perempuan pula dimenangi Glory Lily Hong (91), Wong Jo Yi di tempat kedua (96) dan ketiga milik Lee Yeong Seo (103). – SM