Agama

Mufti PP gesa Timah tidak guna imej lelaki berjanggut, berkopiah

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor menggesa wiski Timah keluaran syarikat tempatan tidak menggunakan imej lelaki berjanggut dan berkopiah.

Beliau ternyata terkejut dan kecewa arak syarikat pengeluar Winepak International yang bertapak di Puchong, Selangor itu turut mengunakan nama Timah.

Wan Salim berkata, ‘Timah’ adalah nama yang digunakan oleh masyarakat Melayu dan merupakan singkatan daripada Fatimah iaitu nama puteri Nabi Muhammad SAW yang amat dihormati oleh umat Islam

“Pengeluar wiski berkenaan perlu peka terhadap sensitiviti umat Islam berkaitan dengan isu ini.

“Lebih memburukkan keadaan apabila gambar yang dipaparkan di botol minuman tersebut seolah-olah imej seorang yang beragama dengan kopiah dan janggutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Beliau menegaskan, pihaknya tidak membantah arak diminum oleh orang bukan Islam.

Bagaimanapun Mufti Pulau Pinang itu mahu kerajaan mengarahkan syarikat pengeluar minuman itu segera menukar jenamanya beserta gambar pada botolnya supaya tidak menyentuh sensitiviti umat Islam.

Menurut beliau, bagi masyarakat Islam di negara ini yang mana di dalam Perlembagaan dinyatakan Islam sebagai agama Persekutuan, maka tidak sepatutnya Malaysia menjadi sebuah negara pengeluar wiski.

Sementara itu, menurut laporan media, nama Timah diambil sempena bahan bijih yang amat berharga yang ditemui di Semenanjung Malaysia dan merupakan eksport utama negara pada satu masa dulu.

Manakala lelaki yang menjadi penghias pada botol wiski tersebut merupakan penjajah British bernama Tristram Speedy yang juga dikenali sebagai Captain Speed. Beliau merupakan Penolong Residen pertama di Perak.

Wiksi tersebut memenangi anugerah perak di pertandingan San Francisco World Spirits Competition (SFWSC) tahun lalu.-SM

(Visited 303 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button