Muez, Hasnol Zam Zam dilantik KSU Kementerian Pertahanan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
KETUA Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali hari ini mengumumkan pelantikan dua Ketua Setiausaha (KSU) baharu bagi dua kementerian masing-masing berkuatkuasa esok (1 Feb).
Mohd Zuki dalam kenyataannya hari ini berkata, Datuk Muez Abd Aziz dilantik sebagai KSU Kementerian Pertahanan menggantikan beliau (Mohd Zuki) yang memegang jawatan itu sebelum ini.
Sementara itu, jawatan Muez sebelum ini sebagai KSU Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna diisi Datuk Hasnol Zam Zam Ahmad.
Muez yang berkelulusan Ijazah Sarjana Ekonomi dari Universiti Vanderbilt, Amerika Syarikat telah berkhidmat 25 tahun dalam perkhidmatan awam manakala Hasnol Zam Zam memegang Ijazah Sarjana Perancangan Bandar dari Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat berpengalaman luas selama 28 tahun dalam perkhidmatan awam.
“Saya percaya dengan pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki Datuk Muez mampu menggalas amanah mendokong misi Kementerian Pertahanan dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” katanya.
Menurut Mohd Zuki pelantikan Hasnol Zam Zam pula mampu merealisasikan hasrat kementerian pedagangan dalam negeri menjadi “Caring Ministry” yang memfokuskan perdagangan domestik sebagai tunjang ekonomi berpendapatan tinggi negara,” katanya.- BERNAMA