Nasional

MoU UniMAP, E-Idaman bantu kerajaan urus sisa pepejal

PENGURUSAN sisa pepejal adalah satu perkhidmatan asas yang amat penting bagi memastikan tahap kebersihan dan kesihatan segenap lapisan penduduk adalah terjaga dan juga sebagai langkah ke arah pemuliharaan alam sekitar.

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turut mengambil inisiatif bagi membantu kerajaan dalam usaha bagi mewujudkan satu sistem pengurusan sisa pepejal yang mempunyai kos efektif dan efisien ke arah menjadikan negara sebagai sebuah negara yang bersih, sihat, aman dan sejahtera.

Sehubungan itu, satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) diadakan di antara UniMAP dan syarikat pengendali pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam E-Idaman Sdn Bhd (E-Idaman).

Naib Canselor UniMAP Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata, MoU berkenaan dimeterai bagi meningkatkan hubungan dalam latihan dan penyelidikan bersama industri, membangun dan menggalakkan penyelidikan bersama, seminar, persidangan mahupun bengkel.

“Selain itu, ia juga bertujuan untuk kedua-dua organisasi membantu antara satu sama lain dalam mendapatkan pembiayaan luar daripada sumber luar di samping menggalakkan sebarang aktiviti penyelidikan bersama yang dipersetujui,” kata beliau dalam satu kenyataan selepas majlis berkenaan yang diadakan di Auditorium Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau mewakili UniMAP bagi menyempurnakan MoU berkenaan manakala E-Idaman diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Zaki Abdul Aziz Daud.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Prof Ir Dr Rizalafande Che Ismail, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) Prof Madya Dr Afizah Ayob, Ketua-ketua Bahagian E-Idaman, serta Timbalan-timbalan Dekan FTKA.

Tambah Dr Zaliman, MoU antara UniMAP dan E-Idaman sebelum ini telah ditandatangani pada 2019 yang kemudiannya telah mewujudkan Makmal Penyelidikan UniMAP-E-Idaman serta penempatan Mesin Pencernaan Anaerobik (AD50) bagi memproses sisa makanan berkapasiti 50 kilogram sehari dan menghasilkan 5m3 bio-gas untuk tujuan memasak dan bio-kompos.

“MoU yang ditandatangani hari ini akan diteruskan ke lima tahun akan datang sekaligus memberi peluang kepada kedua-dua pihak dapat berkongsi kemudahan bagi tujuan pendidikan, penyelidikan serta menyumbang dalam berkongsi kepakaran teknikal untuk kempen kesedaran dalam pengurusan sisa bagi tempoh yang lebih panjang,” katanya.

Penyelidik yang terlibat dalam MoU ini ialah Timbalan Dekan Penyelidikan & Pasca Siswazah FTKA, Prof Madya Ts. Dr Irnis Azura Zakarya selaku ketua projek, Pengarah Pusat Pengurusan Tenaga dan Kampus Lestari (COSCEM) Prof Madya Ts Dr Siti Khadijah Zaa’ba dan Dr Tengku Nuraiti Tengku Izhar. – SM

(Visited 458 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button