Nasional

Masjid, surau kembali meriah kendali ibadah korban

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 4 Julai – Jika tahun lalu masjid dan surau di negeri ini sepi sewaktu pelaksanaan ibadah korban berikutan pandemik Covid-19 selain pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun tahun ini ibadah itu dijangka kembali meriah bakal melihat masjid dan surau dipenuhi ramai jemaah termasuk kanak-kanak menunggu daging korban mula dilapah selepas solat sunat Hari Raya Aidiladha.

Tempoh dua tahun negara dilanda pandemik Covid-19, pelaksanaan ibadah korban dilakukan dengan kawalan ketat dengan menghadkan kehadiran kariah.

Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pula telah membenarkan semua masjid dan surau di negeri ini untuk melaksanakan ibadah korban sebagaimana ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Vaterinar termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), disifatkan cukup melegakan.

Pengerusi Korban Berkelompok Masjid Al-Aminin, Batang Tiga, Dr. Shahrom Noordin berkata, beliau berharap ibadah korban kali ini dapat berjalan lancar buat pertama kali selepas pandemik Covid-19.

Menurutnya, tahun lalu ibadah korban di masjid ini dijalankan dalam suasana sunyi berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan apabila pelaksanaan ibadah korban hanya tiga ekor lembu.

“Saya memanjatkan rasa syukur kerana ibadah korban tahun ini buat pertama kali akan terasa kemeriahannya selepas sepi sejak dua tahun lalu.

“Tahun lalu, suasana masjid agak sunyi kerana petugas yang dibenarkan sahaja terhad untuk memotong daging korban untuk diagih-agihkan kepada para peserta.

“Namun tahun ini saya lihat suasana kembali meriah walaupun hanya sembilan ekor lembu namun ramai kariah menawarkan diri untuk membantu memotong dan mengagih-agihkan daging korban,” ujarnya kepada di sini hari ini.

Shahrom berkata, pelaksanaan ibadah korban kali ini tetap mematuhi SOP yang telah ditetapkan serta akan dipantau oleh JAIM dan Jabatan Kesihatan negeri.

Menurutnya, kesemua lembu akan disembelih di pusat penyembelihan di Kampung Tengah dan Stulang Daing
selepas selesai menunaikan solat Hari Raya Aidiladha.

Sementara itu Pengerusi Masjid Bilal Bin Rabah, Tanjong Kling, Supari Rajab berkata, masjid itu melaksanakan ibadah korban sebanyak 30 ekor lembu berbanding tahun lalu ia tidak dapat diadakan ekoran wabak Covid-19.

Menurutnya, pelaksanaan korban tahun kembali meriah dengan penyertaan ramai jemaah menyertai korban serta mereka yang ingin menolong melapah daging lembu.

Jelasnya, lembu korban terpaksa diagih-agihkan di surau-surau dalam kariah Masjid Bilal Bin Rabah bagi mengelak masjid itu menjadi tumpuan terlalu orang ramai.

“Tahun lalu sewaktu PKP masjid ini tidak menganjurkan ibadah korban kerana bimbang wabak Covid-19 justeru tahun ini pelaksanaan ibadah disifatkan paling meriah kembali,” ujarnya.

Katanya, pihak masjid serta surau dinasihatkan untuk mematuhi SOP yang ditetapkan agar tidak berlaku sebarang insiden yang boleh mencemari pelaksanaan ibadah korban kali ini.

(Visited 172 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button