KERAJAAN melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) membuka peluang kepada syarikat pemula teknologi menyertai National Technology & Innovation Sandbox (NTIS).
Menerusi peruntukan daripada Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), dana bernilai RM100 juta, pelbagai skim pembiayaan ditawar sehingga RM4 juta.
Ia bertujuan menggalakkan projek inovasi tempatan dalam pembangunan teknologi serta penyelesaian pelbagai masalah infrastruktur digital.
Di samping itu, program ini juga dijangka dapat mengurangkan kadar pengangguran serta kebergantungan kepada pekerja asing.
“Melalui NTIS, Kerajaan melalui MOSTI menggalakkan agar projekprojek inovasi tempatan dapat dihasilkan.
“Di samping mempercepatkan pembangunan penyelesaian teknologi baharu.
“NTIS dilihat mampu menyelesaikan permasalahan berkaitan masyarakat seperti pengangguran meningkat dan kebergantungan tenaga kerja asing.
“Selain itu, ketahanan rantaian bekalan tempatan, keselamatan makanan dan kesihatan serta kepincangan infrastruktur digital dapat diatasi.”
Demikian kata Menterinya, Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan daripada Mosti hari ini.
Tambah beliau, isu yang paling penting dapat diatasi menerusi program tersebut adalah implikasi pandemik Covid-19 yang melanda negara dan global.
Akibat pandemik tersebut, negara berhadapan dengan peningkatan pengangguran dan penurunan keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Malah beberapa masalah lain berkaitan ekonomi seperti penurunan kadar kepenggunaan, perbelanjaan swasta serta kebergantungan kepada pekerja asing.
Kesan Covid-19 juga menyebabkan keperluan terhadap peningkatan kemahiran bakat dalam pelbagai sektor menerusi penerimaan normal baharu.
“Kerajaan percaya bahawa isu-isu ini dapat ditangani dengan menggunakan teknologi yang lebih maju.
“Seperti dalam sektor utama seperti teknologi perubatan, pembuatan, pertanian, pendidikan serta pelancongan dan perjalanan,” jelasnya.
Dalam pada itu, bagi menyokong dan menjayakannya, NTIS yang diterajui Mosti dan Malaysian Global Innovation & Creative Centre (Magic) akan dibantu beberapa agensi.
Ia termasuklah Technology Park Malaysia (TPM), MIMOS Berhad, Malaysia Technology Development Corporation (MTDC) dan Futurise Sdn. Bhd..
“Sebagai pusat koordinasi dan fasilitasi penyelesaian nasional, NTIS mampu memacu pembangunan penyelesaian inovatif.
“Ia dapat dilakukan daripada peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada peringkat yang sedia untuk dikomersialkan.
“Beberapa contoh projek perintis yang telah dikenalpasti di bawah NTIS termasuk FARMO (Farm Assist Robot for Multi Operation) Robot yang digunakan di sektor Pertanian, Robot Rehabilitasi untuk hospital, Robot Linear untuk Aplikasi Industri, dan banyak lagi.”
Kata Ketua Pegawai Eksekutif Magic, Dzuleira Abu Bakar.
Justeru syarikat berkaitan inovasi teknologi yang berminat untuk memohon atau memerlukan maklumat lanjut mengenai geran dan pembiayaan boleh layari https://sandbox.gov.my.. – SM