Montom, beruang madu kelapan dilepaskan BSBCC ke habitat asal
PUSAT Pemuliharaan Beruang Madu Borneo (BSBCC) melepaskan seekor beruang madu kembali ke habitat asal, selepas lima tahun beruang yang dinamakan Montom itu menjalani pemulihan di pusat berusia 12 tahun itu.
Dalam satu kenyataan bersama di sini, hari ini, BSBCC dan Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) memaklumkan bahawa Montom, beruang jantan berusia enam tahun, dilepaskan pada pukul 6.18 pagi, 10 Julai lepas, dan ia merupakan beruang madu kelapan yang dilepaskan oleh pusat pemuliharaan itu.
Menurutnya Montom tiba di BSBCC untuk pemulihan setelah diserahkan oleh seorang penduduk kampung yang menyelamatkannya di Kampung Melangkap, Kota Marudu pada 21 Jan 2015.
“Sebelum pelepasan Montom, pemeriksaan kesihatan terakhir dilakukan oleh pasukan BSBCC dan SWD di fasiliti BSBCC di Sandakan. Pergerakan Montom akan terus dipantau secara berkala melalui sistem kedudukan global (GPS) yang dipasang padanya,” menurut kenyataan itu.
Inisiatif pelepasan itu turut melibatkan pengurusan perhutanan dan penyedia khidmat nasihat Forest Solutions Malaysia Sdn Bhd.
Menurut kenyataan itu, Montom hanya seekor anak beruang kecil ketika diselamatkan oleh seorang lelaki selepas ibu beruang itu dihalau anjing, dan lelaki itu menjaga Montom sebagai haiwan kesayangan selama kira-kira setahun sebelum memutuskan untuk menyerahkan anak beruang kepada Unit Penyelamat SWD.
Menurutnya Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif BSBCC, Dr Wong Siew Te, yang mengetuai operasi pelepasan beruang itu berkata sepanjang proses pemulihan di BSBCC, Montom menyesuaikan diri dengan baik terhadap hutan alam sekitar di pusat itu, dan selain hebat dalam memanjat pokok, Montom juga sangat bagus dalam meneroka sekitar hutan tertutup.
Dr Wong turut menzahirkan terima kasih kepada SWD, Forest Solution Malaysia dan Jabatan Perhutanan Sabah serta bersyukur keadaan cuaca yang baik membolehkan pelepasan Montom dilaksanakan dengan lancar dan berharap beruang madu itu kini dapat hidup bebas seperti beruang liar lain serta membiakkan populasi beruang madu di Sabah.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat mengenai lokasi pelepasan haiwan itu kerana pemburuan haram masih merupakan ancaman besar terhadap kelangsungan hidup beruang madu di habitat asal.
“Beruang madu mempunyai kadar pembiakan yang sangat perlahan. Mereka tidak tahan dengan tahap pemburuan haram dan perbuatan manusia yang lain seperti kehilangan habitat, menjaga beruang madu sebagai binatang peliharaan dan menggunakan bahagian tubuh beruang sebagai ubat tradisional,” katanya.
Wong berkata BSBCC ketika ini menempatkan 42 beruang madu yang diselamatkan dan dijangka melepaskan beberapa lagi haiwan berkenaan dalam masa terdekat.
Sementara itu, SWD berkata kerjasama dengan BSBCC sepanjang 12 tahun beroperasi di pusat itu telah berjaya menghapuskan pemilikan beruang madu secara haram sebagai haiwan peliharaan di Sabah.
SWD turut mendesak masyarakat untuk melaporkan kepada jabatan itu mengenai sebarang aktiviti pemburuan haram, penjualan, penggunaan dan pemilikan spesies yang dilindungi sepenuhnya seperti beruang. – BERNAMA