Nasional

Pelan tindakan Pembangunan Vaksin Negara dirangka

Pelan tindakan mengenai hala tuju Pembangunan Vaksin Negara akan dirangka dalam memastikan Malaysia mempunyai jaminan keselamatan dan kemandirian vaksin, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata pelan tindakan itu penting untuk negara susulan pandemik COVID-19 yang melanda dunia dan sehingga kini belum ada vaksin untuk penyakit itu.

Katanya kementerian diterajuinya itu bersama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dipertanggungjawabkan untuk mempengerusikan Jawatankuasa Tadbir Urus untuk memantau pembentukan pelan tindakan itu.

“Pelan tindakan itu akan kita sediakan dalam tempoh enam bulan akan datang dan kita akan umumkan sejauh mana kita ketinggalan (dalam perkara ini).

“Pandemik COVID-19 telah mendedahkan bahawa ia (pembangunan vaksin) merupakan bidang yang amat penting untuk Malaysia mempunyai kapasiti ini,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, di sini, hari ini selepas menghadiri mesyuarat kedua Majlis Sains Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Khairy berkata Malaysia pada masa ini hanya mempunyai kapasiti untuk membangunkan vaksin untuk haiwan dan belum ada untuk manusia.

“Negara seperti Thailand, Indonesia ada kapasiti untuk bangunkan vaksin tapi Malaysia tak ada. Vaksin haiwan ada tapi vaksin manusia tak ada.

“Jadi perdana menteri tekankan akan kepentingan menjadi negara pembuat vaksin manusia,” katanya.

Selain itu, Khairy berkata mesyuarat bersetuju meluluskan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara bagi 2021-2030 yang akan dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri bagi menggantikan dasar sedia ada yang berakhir tahun ini.

Katanya Akta Sains, Teknologi dan Inovasi Negara akan digubal dan dijadual dibentang di Dewan Rakyat tahun hadapan. – BERNAMA

(Visited 135 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button