Sukan

Mohd. Al Juferi mudah tewaskan pesilat India

Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke-19

Walaupun masih belum pulih dari kecederaan di bahu kanan ia tidak menghalang bekas juara dunia sebanyak tiga kali, Mohd. Al Juferi Jamari mara ke pusingan seterusnya pada Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

Pemenang tiga pingat emas Sukan Sea itu tidak berdepan tentangan sengit apabila mudah menewaskan pesilat dari India, S. Kumar pada pusingan kelayakan kelas F menerusi kemenangan 41-16 di Arena 1.

Kemenangan itu memastikan Mohd. Al Juferi bakal berdepan tentangan sengit Alvin T. Campos dari Filipina pada pusingan seterusnya.

Dalam aksi yang serentak di Arena 2, Campos mara selepas pesilat dari Filipina itu mudah mengetepikan saingan Rex Burema dari Belanda 45-20.

“Syukur alhamdulillah saya tidak berdepan tugas getir berdepan pesilat dari India serta menang mudah.
Walaupun dia pesilat baharu saya tidak memandang rendah keupayaannya.

“Kemenangan ini menguatkan azam saya untuk mengharungi cabaran sengit Campos. Saya sudah biasa berdepan dengan dia dan tahu kekuatan masing-masing,” ujarnya ketika ditemui selepas tamat perlawanan tersebut.

Mohd. Al Juferi berkata, pertembungan dengan Campos dijangka sengit dan akan memberikan tentangan dalam usahanya untuk dinobatkan sebagai juara dunia buat kali keempat.

Menurutnya, pertemuan dengan lawannya itu tidak mungkin sama macam dahulu apa lagi sejak pandemik Covid-19, ia banyak sudah berubah dari segi fizikal dan taktikal.

“Saya ada strategi berdepan dengan Campos, insyallah saya yakin untuk menewaskan dia walaupun saya masih takut-takut ekoran kecederaan di bahu sewaktu bertanding di separuh akhir Sukan Sea Hanoi, Mei lalu,” ujarnya.

Terdahulu beberapa pesilat negara cemerlang dalam kategori solo kreatif lelaki menerusi Mohd. Shukrillah Badrilah dan Lukman Laji mara ke pusingan seterusnya.

Bagaimanapun regu wanita negara yang mengandingkan Merrywati Manuil, Fatin Ardani Zamri dan Siti Khairinnisa Hail terpaksa akur dengan kehebatan pasukan dari Indonesia. – SM

(Visited 242 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button