Politik

Misi parti bukan untuk mereka yang cari penghidupan dari UMNO

MISI dan nilai UMNO mesti diperjuangkan oleh mereka yang benar-benar ikhlas mahu memastikan parti itu terus hidup pada masa akan datang.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, mereka yang mencari penghidupan dari UMNO tidak layak untuk menyertai misi dan nilai parti itu.

Beliau berkata demikian dalam ucapan bagi meraikan ulang tahun ke-75 penubuhan UMNO pada setiap 11 Mei.

Ia adalah antara tiga nilai yang digariskan oleh Mohamad jika ahli UMNO ingin terus meraikan ulang tahun parti itu.

Tegasnya, UMNO harus dilihat sesuai dengan perubahan zaman dan ahlinya tidak terus dibuai dengan nostalgia ketinggalan zaman.

Mohamad berkata, ahli UMNO perlu berhenti untuk terus bercerita mengenai zaman gemilang UMNO sedangkan kedudukan semasa parti tersebut sangat bergelora dan tidak secerah dulu.

“Kedua, pendukungnya mesti pelbagai generasi. Perubahan generasi itu nyata dan mesti diterima. Idea dan pemikiran politik terbaik bukan lagi di ukur pada usia pengucapnya tetapi pada kualiti dan kebernasan idea tersebut.

“Ketiga, nilai dan misi UMNO mesti diperjuangkan oleh mereka yang ikhlas menghidup-hidupi UMNO. Bukan mereka yang mencari penghidupan dari UMNO,” katanya.

Mohamad berkata, masa depan UMNO merupakan rahsia Tuhan tetapi ikhtiar bagi memastikan kelangsungan UMNO harus didukung sepenuhnya oleh ahli parti itu.

Tambahnya, segala kebaikan dan kelemahan UMNO dicorakkan sendiri ahli UMNO.

“Kepada seluruh pendukung UMNO, terima kasih kerana masih bersetia walau dalam susah dan payah UMNO kebelakangan ini.

“Insya-Allah dengan bekerja kuat, bersifat terbuka dengan idea dan pemikiran maju serta bersatu padu, UMNO akan pasti menjadi lebih utuh dan baik. Allah, bantulah kami memelihara UMNO ini dengan sebaiknya,” doa Mohamad.-SM

 

 

(Visited 180 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button