NasionalNegeri

MES Pegawai Kanan Polis di Sungai Batu Pahat dibuka untuk awam

MES Pegawai Kanan Polis Kontinjen Perlis di Sungai Batu Pahat yang terletak kira-kira 11 kilometer dari Kangar ini telah “terperam” hampir 11 tahun.

Bagaimanapun ia akan kembali ceria kerana dijangka bakal dibuka kepada orang ramai mulai Oktober depan.

Pembukaan mes ini sebenarnya diilhamkan oleh Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad yang juga bertepatan dengan matlamat “polis dan masyarakat berpisah tiada”.

MES Pegawai Kanan Polis Kontinjen Perlis di Sungai Batu Pahat bakal dibuka kepada orang awam.

“Kita mahukan polis dan orang awam boleh duduk bersantai bersama-sama di mes ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Jualan Mes PDRM Perlis di Sungai Batu Pahat, Kangar.

Katanya, karnival ini yang julung kali dianjurkan PDRM ini juga sebagai “pembuka jalan” untuk menjadikan mes ini kembali meriah seperti zaman kegemilangannya.

Related Articles

Tambahnya, mes ini telah dibuka pada 18 Februari 1997 oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Samsuri Arshad pada ketika itu.

“Sudah sampai masanya mes ini dibuka kepada awam kerana ia terletak di kawasan strategik iaitu ada Taman Ular dan Reptilia dan juga Kelab Golf Putra,” katanya.

Sehubungan itu katanya, mes akan menjadi daya tarikan pelancongan yang baharu di Sungai Batu Pahat.

“Sejak Mes Pegawai Kanan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Perlis di Jalan Raja Muda, Kangar dibuka sekitar 2012, segala kegiatan di mes ini terhenti,” katanya.

Katanya, bangunan ini yang dimililiki oleh PDRM Perlis akan menggunakan duit tabung pasukan ini bagi melakukan beberapa pengubahsuaian.

Surina memegang ular pada mini zoo sempena Karnival Jualan PDRM Perlis di Mes Pegawai Kanan Polis Kontinjen Perlis di Sungai Batu Pahat.

“Kita akan melakukan pengubahsuaian ini tanpa bantuan dari mana-mana pihak,” katanya.

Surina berkata, ruang dalaman akan menempatkan sudut minum kopi ala mes di zaman dahulu.

“Kita cuma sediakan kopi dan makanan ringan sebagai pilihan kepada pengunjung untuk bersantai,” katanya.

Tambahnya, bahagian luar juga akan diadakan tempat untuk melepak kerana di sekeliling mes ini kaya dengan pemandangan alam semula jadi yang menarik.

Surina melawat gerai jualan di Karnival Jualan PDRM Perlis di pekarangan Mes Pegawai Kanan Polis Kontinjen Perlis di Sungai Batu Pahat, Kangar.

Surina berkata, kerjasama juga akan diadakan dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis untuk penganjuran Jualan Agro Madani dari semasa ke semasa kerana ia dilihat mendapat sambutan hangat semasa anjuran karnival.

Beliau yakin, sekaligus dengan pembukaan mes ini ia akan dapat membuang rasa “gerun” orang awam terhadap pasukan polis selama ini. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button