Menuju ke pentas Asia setelah Selangor tewaskan Kedah
Selangor FC mengesahkan slot ke peringkat Asia, musim depan, selepas menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman.
Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan Selangor FC di tangga kedua liga dengan 58 mata sebelum pertembungan terakhir menentang PDRM FC pada 17 Disember ini manakala KDA FC kini di tempat ketiga.
Pada aksi sengit di hadapan hampir 21,000 penonton, KDA FC memulakan asakan bahaya ke gawang Selangor pada minit ke-8 dengan gerakan J Partiban, tetapi gagal disempurnakan Ifedayo Olusegun.
Kemudian percubaan kapten, Manuel Ott yang diselamatkan oleh penjaga gawang Selangor, Sam Somerville.
Selangor membalas serangan melalui rembatan Yohandry Orozco pada minit ke-15 yang ditepis penjaga gol KDA FC, Kalamullah Al-Hafiz.
Ifedayo sekali lagi memiliki peluang terbaiknya pada minit ke-30 melalui percubaan di depan pintu yang dihalang pertahanan Selangor, Safuwan Baharudin.
Memasuki babak kedua, Selangor memasukkan Brendan Gan dan mengeluarkan Mukhairi Ajmal bagi menguatkan jentera serangan.
Rombakan itu ternyata menajamkan gerakan Selangor yang akhirnya memecah kebuntuan apabila penyerangnya Aaron Del Valle menolak masuk bola hasil hantaran Brendan pada minit ke-64.
Kedah cuba bangkit melalui percubaan Manuel Hidalgo pada minit ke-79 selepas mendapat hantaran pemain gantian Fayadh Zulkifli, namun diselamatkan oleh Sam Somerville.
Di hujung babak kedua, percubaan pertahanan KDA FC, Wan Amirul Afiq tersasar ke atas palang gol, sekali gus mengecewakan penyokong Sang Kenari dan kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat.