Politik

Menteri di `pelupuk mata’ PM

SERINGKALI mana-mana Perdana Menteri menyatakan seorang menteri tidak perlu taat kepadanya.

Tetapi mesti taat kepada parti dan kerajaan memerintah. Memang benar, namun hakikatnya Perdana Menteri memerhati menteri-menteri yang taat pada beliau – dilihat melalui percakapan atau rujukan-rujukan tertentu.

Banyak perkara yang dapat dipelajari melalui `suara-suara garau’ kerajaan dan parti, lantas menerusinya Perdana Menteri mendapat maklumat-maklumatnya melalui pelbagai sumber.

Seseorang itu, dalam mana-mana senario di setiap negara, yang paling utama mesti disukai oleh Perdana Menteri untuk menjadi salah seorang menteri atau menteri besar.

Jika pendirian politik anda mengenai isu-isu tertentu tidak disukainya, kemungkinan anda untuk dipilih menganggotai Kabinet amat tipis . Anda mungkin `tewas’ walaupun anda mempunyai PhD dalam bidang pilihan anda.

BAKAT ISTIMEWA

Dalam kes senario kerajaan, seseorang menteri memainkan peranan penting dalam mencorakkan masa depan kementerian. Tidak ada faedahnya jika seseorang itu `bermegah’ dengan keupayaan dan bakat istimewanya sahaja.

Mungkin di sinilah letaknya kebenaran. Orang yang melantik dan menyingkir selalunya adalah orang yang berkuasa. Orang yang berkuasa adalah orang yang anda berkhidmat kepadanya. Adalah suatu kelemahan jika seorang ahli politik terlepas pandang perkara ini.

Orang awam akan tahu pemimpin mana kaki ampu atau bodek dan yang mana benar-benat berfikir. Ini juga bermakna seorang ahli politik tidak boleh kelihatan terlalu pandai sehingga ketua yang beliau berkhidmat dilihat kurang bijak.

Mesti ada sedikit sifat Machiavelli di sini. Tetapi orang yang tidak mempunyai persepsi klasik Itali ini tidak akan bertahan lama dalam politik.

REZEKI

Jangan dilupai, bahawa nasib dan ketentuan masa adalah penting. Terdapat banyak personaliti pada masa lalu telah mempunyai peluang dan keupayaan untuk menjadi pemimpin muktamad. Tetapi disebabkan nasib tidak menyebelahi mereka, terpaksa berhenti pada satu tahap dalam kerjaya politik mereka dan akhirnya tergolong dalam kumpulan yang biasa.

Anda mungkin bijak tetapi nasib yang diperlukan dan rezeki yang mendatang, cita-cita akan hancur begitu sahaja. Allahyarham Tun Ghazali Shafie atau King Ghaz seperti mana beliau dikenali dalam kalangan rakan-rakan, melonjak daripada peringkat bawah perkhidmatan awam dan diplomatik.

Beliau dikagumi dan dihormati sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar. Kemudian, beliau terus meningkat apabila dilantik oleh Tun Abdul Razak sebagai menteri luar yang ranggi dan pada akhir tahun 70-an, sebagai Menteri Dalam Negeri yang sangat digeruni dalam kerajaan Datuk Hussein Onn (1976-1981). Beliau mempunyai daya pemikiran, kebijaksanaan dan mendapat perhatian dari kedua-dua, Tun Abdul Razak dan Hussein.

Hussein pernah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau sebagai Perdana Menteri sebenarnya bukanlah orang yang pandai atau yang terbaik untuk jawatan itu. Ianya cuma kerana, seperti mana beliau berfalsafah, nasib beliau yang baik kerana berada d tempat dan pada waktu yang sesuai.

MENDAKI HIERARKI

Beliau tidak menyembunyikan pilihan beliau terhadap King Ghaz sebagai Menteri Dalam Negeri yang boleh pergi lebih tinggi dalam hierarki parti dan kerajaan. Malahan pada tahun 70-an, merupakan zaman kecemerlangan Ghaz.

Apabila Hussein menggantikan Tun Abdul Razak pada 1976, Ghaz merupakan orang yang paling hangat diperkatakan. Tetapi beliau bukan Naib Presiden UMNO. Oleh yang demikian, beliau tidak mendapat jawatan sebagai Timbalab Perdana Menteri.

Sebaliknya yang dapat menjadi nombor dua adalah Dr. Mahathir Mohamad, salah seorang daripada tiga Naib Presiden UMNO pada 1976. Dan beliau bukanlah orang yang mendapat undian paling tinggi dalam kalangan Naib Presiden itu.

Dalam kes Tengku Razaleigh Hamzah dan Musa Hitam, entah bagaimana mereka terhenti di landasan dalam perjalanan mereka mendaki tangga kemuncak politik.

Seseorang perlu menjadi orang penting dan memperoleh sokongan kuat dalam parti jika ingin menerajui kerajaan dan kerajaan negeri.

Tetapi jika ia hanya satu perkara untuk menjalankan tugas dengan baik, di peringkat `also ran’, maka tiada apa yang perlu dibimbangkan.

Di sinilah, `nasib politik’ memainkan peranan yang penting. – SM

(Visited 118 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button