fbpx
Nasional

Pertandingan menampar muka haram

PERTANDINGAN menampar muka yang amat popular di Rusia adalah haram dalam Islam.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri, berdasarkan pengamatannya terhadap Russian Slap Championship yang menampilkan kehandalan  Vasily Kamotsky  menampar, adalah haram bagi umat Islam untuk menyertai pertandingan seperti itu.

Zulkifli berkata, pertandingan menampar pipi itu membinasakan kerana boleh mendatangkan kecederaan dan membawa maut. Hal ini bertepatan dengan firman Allah dalam Surah al-Baqarah bermaksud, “dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

Manurut Zulkifli, sukan tersebut juga menyalahi sunnah di mana Rasulullah SAW menyuruh bahagian memuliakan muka.

“Sabda Nabi SAW, Apabila seseorang kamu memukul maka jauhilah muka (Riwayat Ahmad).


“Manakala dalam hadis yang lain, Nabi SAW bersabda, Apabila seseorang kamu berperang, jauhilah dari (mencederakan) muka (Riwayat al-Bukhari dan Muslim),” kata Zulkifli.

Menurutnya, Imam Nawawi menyatakan hadis berkenaan secara jelas menyebut mengenai larangan memukul muka. Ini kerana bahagian tersebut adalah lembut yang menghimpunkan segala keelokan.

“Anggota-anggota pada muka itu sangat berharga dan lembut juga sering terdedah. Memukul muka boleh merosakkannya atau boleh mengurangkannya atau boleh mencacatkannya atau boleh menghodohkannya.

“Kecacatan pada wajah itu buruk kerana ia jelas lagi zahir yang tidak mungkin untuk ditutupi. Apabila ia dipukul,” kata Zulkifli.

Menurut Zulkifli, Imam al-Son’ani pula menyebut, hadis Nabi SAW itu merupakan dalil haram memukul muka dan perlu dielakkan, tidak dipukul, tidak ditampar sekalipun dalam hudud yang disyariatkan dan sekalipun dalam jihad.

Justeru, Zulkifli berharap sukan menampar pipi tidak menjadi amalam dan dibawa ke Malaysia. -SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button