Jasad Vui Keong dikebumi di Telipok, Isnin ini
JASAD mendiang Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong akan dikebumikan pada Isnin ini di Kota Kinabalu.
Hal demikian bagi memberi peluang kepada kenalan mendiang untuk memberi penghormatan terakhir kepadanya sebelum dikebumikan di Nirvana Memorial Park di Telipok.
Sebelum dikebumikan, jasad mendiang akan dibawa ke sebuah gereja.
“Semua kami sedang uruskan supaya dipercepatkan.”
Kata adiknya Peter Liew seperti dipetik laporan portal Borneo Today yang menziarahi keluarga mendiang di kediamannya.
Tambah Peter Liew, sebelum abangnya meninggal dunia, mendiang pernah memberitahu kena memandu sendiri selama lima hari ke beberapa tempat.
Keadaan itu menyebabkan paha kiri mendiang kejang dan mengalami masalah.
Terdahulu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 11.50 pagi semalam di Hospital Gleanegles di Kota Kinabalu Sabah.
Mendiang yang berusia 60 tahun itu dilapor dimasukkan ke hospital sejak kira-kira lima hari sebelum meninggal dunia akibat mengalami jangkitan pada paru-paru.
Susulan itu juga beliau tidak kelihatan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah selama dua minggu itu berlangsung.
Vui Keong merupakan seorang ahli politik yang aktif sejak 1994 apabila menyertai Parti Demokratik Liberal (LDP) sehingga 2018.
Pada 2016, Vui Keong dikurniakan Pingat Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) oleh Yang Dipertua Negeri Sabah yang membawa gelaran Datuk.
Ketika itu, LDP merupakan sebahagian daripada gabungan Barisan Nasional (BN) dan pernah menjawat jawatan dalam kabinet selama tiga penggal.
Kemudian, beliau menyertai Warisan sejak 2018 hingga ke akhir hayatnya. – SM