NasionalRencah Hidup

Mencari restoran Melayu di Klia2

SAYA dalam jadual penerbangan ke Sabah untuk membuat liputan Pilihan Raya Kecil Kimanis. Seperti biasa saya akan keluar awal bagi mengelakkan daripada terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas.

Jadual penerbangan saya adalah pada pukul 10 pagi, tetapi saya tiba kira-kira dua jam lebih awal. Oleh kerana terlalu awal keluar rumah saya tidak sempat bersarapan pagi dan merancang untuk menikmati sarapan di lapangan terbang.

Almaklumlah bukannya selalu nak datang ke lapangan terbang, jadi kesempatan itu digunakan juga untuk menikmati sarapan. Entah mengapa pagi itu tekak saya terasa ingin makan kuih tradisional Melayu. Mungkin kerana terlalu kerap sebelum ini melayan makanan mamak agaknya.

Saya pun berjalan-jalan di sekitar KLIA2 untuk mencari restoran Melayu. Saya lihat ada restoran Bibik. Bunyinya seperti restoran Indonesia kerana perkataan bibik merujuk kepada pembantu rumah di dalam bahasa Indonesia.

Saya lihat menunya adalah makanan Indonesia iaitu seperti namanya, serta beberapa menu makanan tempatan, termasuk nasi lemak dan mee makanan kegemaran kaum Cina.

Selain daripada itu saya tidak dapat menemui mana-mana restoran Melayu seperti Kueh yang terdapat di KLCC atau sekufu dengannya.

Banyak restoran yang ada adalah menyajikan makanan barat seperti Starbucks dan seangkatan dengannya.

Situasi ini sangat mengecewakan bukan sahaja tidak dapat menikmati kuih tradisional, tetapi wajah Melayu itu sendiri tidak ada di KLIA2.

Semalam saya terbaca tinjauan yang dibuat Suara Merdeka di KLIA, nasib yang sama berlaku. Pengusaha restoran makanan Melayu hanya sebatas di medan selera sahaja, itupun lebih kepada nasi campur sahaja.

Sepatutnya perkara ini tidak berlaku kerana Malaysia majoriti penduduknya adalah orang Melayu dan mengamalkan hidup serta adat resam Melayu yang menjadi wajah kepada negara ini.

Teringat saya dahulu pernah ada cadangan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam untuk membuka restoran Melaka, tetapi sehingga hari ini inisiatif itu tidak dapat direalisasikan.

Jika kita ke negara lain orang asing disambut dengan restoran makanan tempatan yang menjadi imej dan tarikan kepada sesuatu tempat.

Tapi di negara kita sendiri makanan barat lebih diutamakan hingga restoran menu makanan Melayu tradisional tidak ada. Sedangkan banyak chef hebat yang terdiri daripada orang Melayu, begitu juga restoran seperti Rebung menjadi pilihan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

Saya fikir jika restoran seperti ini diberikan ruang dan insentif sebagai tarikan pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 ia akan menjadi sangat bermakna.

Kementerian Pelancongan perlulah menjadi lebih kreatif dan pihak berkuasa lapangan terbang juga harus mempunyai kesedaran dan semangat kebangsaan.

Imej sebegini bukan sahaja menjadi tarikan kepada pelancong asing, tetapi juga kepada anak-anak watan yang pulang ke tanah air akan rasa ceria serta membangkitkan rasa kecintaan kepada negara.

Restoran Bibik di KLIA2

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button