Ekonomi

Menanti pakej rangsangan serampang tiga mata

SEBAGAIMANA  yang kita semua maklum wabak COVID-19 telah menjadi ancaman besar buat rakyat di seluruh dunia.

Wabak ini bukan sahaja mengancam kesihatan sehingga begitu banyak mangsa yang terkorban, tetapi turut memberi kesan kepada ekonomi dunia yang merangkumi pelbagai aspek termasuklah juga industri pekerjaan yang melibatkan pelbagai sektor.

Pelbagai persoalan bermain di minda kita. Sejauh manakah kerosakan atau kerugian yang kita semua alami?

Berapa banyakkah syarikat atau pemilik perniagaan yang tidak bersedia menghadapi situasi seperti ini? Bagaimana pula dengan mereka yang berniaga kueh yang mengharapkan keuntungan harian untuk terus hidup.

Begitu juga dengan pekerja yang bergantung pada gaji harian?
Dan jangan lupa pemilik perniagaan yang terpaksa menaggung kos operasi.

Itu sebabnya mengapa perkara yang paling penting ialah apakah tindakan kita untuk menangani masalah ini.

Presiden Perusahaan kecil Sederhana, Datuk Michel Kang dalam satu laporan yang disiarkan oleh akhbar dalam talian, The Sun Daily menjelaskan sekiranya pandemik ini tidak berakhir dalam tempoh terdekat, tidak mustahil 5-10% PKS terpaksa ditutup bagi menanggung kerugian dalam tempoh yang panjang.

Melalui laporan tersebut, dianggarkan lebih satu juta rakyat Malaysia bakal hilang pekerjaan sekiranya 10% daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak mampu menanggung kos operasi keadaan ekonomi yang lemah meskipun kes melibatkan wabak COVID-19 disahkan selesai.

Ini merupakan satu angka yang sangat menakutkan dan ada kemungkinan negara kita akan menghadapi kemelesetan ekonomi pada tahun ini juga.

Di samping itu, disebabkan Covid 19 juga pastinya akan memperlahankan pertumbuhan ekonomi yang mana beberapa sektor yang terjejas secara langsung seperti pelancongan dan penerbangan serta sektor yang berkaitannya mungkin akan mengambil langkah meminimumkan operasi dan pemberhentian pekerja.

Malaysia sebenarnya pernah mengalami pelbagai cabaran sebelum ini, contohnya seperti banjir besar yang berlaku beberapa tahun dahulu.

Kita juga pernah mengalami kemelesetan ekonomi pada tahun 1998. Namun semuanya ini kita dapat hadapi dengan berjaya dan sepatutnya kita semakin kaya dengan pengalaman jika berlaku tragedi seperti yang kita hadapi hari ini.

Baru-baru ini Kerajaan telah menyediakan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE2020) untuk memastikan risiko ekonomi akibat penularan wabak ini dapat ditangani dengan efektif berdasarkan strategi yang telah digariskan.

Rakyat mengalu-alukan apa pun bentuk pakej , yang penting dapat mengurangkan beban.

Menerusi PRE2020 ini juga , Kerajaan telah menyediakan beberapa tabung pembiayaan Kewangan bagi individu dan syarikat PKS yang terkesan.

Persoalannya adakah rangsangan ini cukup memberangsangkan?

Mungkin dalam keadaan sekarang, rakyat mahukan penerangan yang lebih jelas .

Itu sebabnya saya amat tertarik dengan penulisan Pakar Ekonomi ,Muhammed Abdul Khalid, dalam salah satu akhbar talian, yang menegaskan pakej rangsangan ekonomi yang lebih besar harus dilakukan serta-merta jika kita hargai nyawa semua rakyat Malaysia.

Beliau telah mengesyorkan strategi ekonomi serampang tiga mata, iaitu memberi pendapatan kepada rakyat Malaysia terutamanya mereka yang bekerja sendiri, membantu syarikat kecil dan sederhana untuk terus bertahan, dan memastikan bekalan makanan mencukupi.

Apa yang dicadangkan ini sebenarnya merupakan perkara-perkara asas yang penting untuk kita meneruskan kehidupan. Itulah hakikatnya kerana berdasarkan apa yang kita semua lalui hari ini, meneruskan kehidupan merupakan perkara yang paling penting sekali.

Sehubungan hal ini juga, harga barang makanan juga mesti terus dipantau supaya para peniaga tidak mengambil kesempatan dengan menaikan harga barang.

Sememangnya dari semasa ke semasa pasti akan ada lagi pelbagai program ransangan serta inisiatif ekonomi.

Dan tidak ada seorang pun rakyat yang akan membangkang jika kerajaan benar-benar memperuntukkan perbelanjaan yang tinggi untuk membantu rakyat semua.

Apa yang rakyat bimbangkan ialah mereka tidak boleh keluar mencari rezki dan memberi kesan kepada pendapatan mereka.

Kita semua menunggu akan Pakej Ransangan yang lebih komprehensif yang akan di umum pada 30 Mac ini.

Semoga penulisan saya di atas dapat di ambil kira oleh Kerajaan dan kita patut menerima hakikat bahawa kita berada dalam keadaan yang tidak pernah kita hadapi sebelum ini. – OLEH SHAHBUDIN HAJI EMBUN
Pengerusi Biro Politik, Majlis Perundingan Melayu (MPM). – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button