Nasional

Peka tubuh Tabung Sumbangan Covid-19

SEDIH dan simpati dengan nasib serta kesusahan hidup yang menimpa masyarakat khususnya golongan berpendapatan rendah yang terjejas ekoran penularan pandemik Covid-19, Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) mengambil inisiatif menubuhkan Tabung Sumbangan Covid-19.

Presidennya, Datuk Paduka Zuhairi Ab Kadir berkata, Tabung Sumbangan Covid-19 bertujuan mengumpul dana bagi membeli barangan keperluan harian termasuk kelengkapan kesihatan seperti pembersih tangan dan penutup mulut serta hidung untuk disumbangkan kepada golongan sasar.

“Objektif penubuhan Tabung Sumbangan Covid-19 untuk meningkatkan sumbangan bagi Peka menggerakkan misi sukarelawan bencana yang bertujuan membantu golongan miskin, kurang upaya, tua dan ibu tunggal, yang kehilangan sumber pendapatan dan terputus bekalan makanan kerana mereka tidak dapat bekerja semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Peka sedih dengan keadaan semasa yang menjejaskan bukan sahaja Malaysia, tetapi di seluruh dunia, yang telah menyebabkan banyak negara mengalami krisis ekonomi dan penderitaan,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

BERITA BERKAITAN:

Sehingga kini, seramai 422,829 orang telah dijangkiti wabak berkenaan di seluruh dunia dengan 18,907 kematian direkodkan.

Di negara ini, daripada kes pertama jangkitan Covid-19 dikesan, sehingga pukul 5 petang ini, jumlah kes positif meningkat kepada 1,796 kes, iaitu
penambahan 172 kes baharu pada hari ini.

Tujuh hari lalu, jumlah keseluruhan kes Covid-19 ialah 673 kes, ini bermakna, kes positif pandemik berkenaan meningkat lebih sekali ganda dalam tempoh hanya satu minggu.

Sehingga kini, jumlah kematian meningkat kepada 19 orang termasuk melibatkan seorang doktor.

Zuhairi berkata, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan aspek kemanusiaan, menjadi peranan bersama Peka untuk membela kebajikan rakyat di negara ini.

“Dengan keputusan kerajaan yang melanjutkan tempoh PKP sehingga 14 April ini, Peka percaya lebih ramai rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah akan terjejas.

“Oleh sebab itu, kita mengambil inisiatif menubuhkan tabung ini yang pada masa sama bertujuan menggalakkan sumbangan pihak swasta serta orang perseorangan atas prinsip sumbangan bencana adalah tanggungjawab bersama,” ujarnya.

Beliau berkata, usaha berkenaan adalah dengan kerjasama Briged Majlis Sukarelawan Bencana Negara (MSBN) dan melibatkan beberapa NGO sebagai organisasi yang akan mengagihkan bantuan yang disumbangkan nanti.

Menurutnya, sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Cimb Bank Peka 8603453646.

“Orang perseorangan mahupun pihak swasta termasuk tokoh-tokoh korporat yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung tabung berkenaan boleh menghubungi Kapten Fazli Abu Bakar di talian, 0169221717.

“Untuk pengeluaran resit, penderma boleh emel slip transaksi bank dengan menyatakan PEKA COVID-19 kepada [email protected],” katanya.

(Visited 526 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button