Politik

Menang dahulu, umum kemudian

SELEPAS rakyat Johor mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Mac nanti, semestinya jawatan Menteri Besar Johor menjadi rebutan.

Sekalipun jawatan itu diintai-intai bukan secara terang-terangan namun tidak dapat dinafikan, itulah yang akan menjadi tarikan selepas hari pilihan raya oleh parti yang menang.

Selepas seminggu (26 Februari lalu) nama-nama calon dari parti-parti yang bertanding di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) disebut dan diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bukannya nama siapa yang akan jadi Menteri Besar Johor dilakarkan.

Cuma percaturan atau ura-ura siapakah yang dilihat berpotensi sebagai MB, itulah yang diajukan.

Sepertimana Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang calon-calonnya bertanding PRN Johor ini tidak menggunakan logo Pakatan Harapan (PH), PKR buat masa ini mahu calon yang bertanding, menang.

Kata PKR, mereka menumpukan calon yang terbaik  untuk ditawarkan kepada rakyat di Johor pada PRU ini berbanding mengumumkan siapakah calon Menteri Besar daripada PH.

Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Saifuddin Nasution menegaskan, PKR sebagai parti komponen PH akan menamakan calon Menteri Besar selepas rakyat memberi mandat.

“Saya katakan buat masa ini fokus kami adalah menawarkan calon terbaik kami kepada rakyat. Setelah itu, apabila rakyat memberikan mandat dan keyakinan, biar dasar lawan dasar. Bukan calon lawan calon.

“Ia bukan soal meletakkan calon Menteri Besar untuk dipadankan dengan calon Menteri Besar,” katanya pada sidang media ketika ditanya pemberita mengapa PH tidak mencalonkan Menteri Besar mereka lagi.

Pada 3 Mac lalu, calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, Datuk Dr. Maszlee Malik menafikan cakap-cakap politik kononnya beliau merupakan calon Menteri Besar Johor jika PKR dan PH diberi mandat pada PRN Johor kali ini.

Dalam pada itu, sejarah PKR masuk bertanding dalam pilihan raya sebelum ini, kata Saifuddin, juga pernah tidak mengumumkan calon Menteri Besar mereka.

Beliau memberi contoh seperti tahun 2008, ketika Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menjadi Menteri Besar Perak yang mana sebelum itu, tiada sesiapapun mengenalinya.

“Tidak ada umum. Lepas rakyat bagi mandat, Nizar dipilih menjadi Menteri Besar Perak dan beliau seorang Menteri Besar yang sangat efektif untuk semua kaum,” kata Saifuddin.

Dalam pada itu, Saifuddin turut menyanggah pandangan yang dimomokkan bahawa rakyat sudah serik untuk mengundi PH selepas PH menjadi kerajaan selama 22 bulan.

Saifuddin juga mempersoalkan, adakah semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memerintah, kos sara hidup rakyat dan harga barang semakin baik?

“BN dan PN hari-hari bergaduh sesama mereka. Bergaduh itu politik yang pentingkan diri sendiri dan bukan untuk rakyat.

“Berbeza PKR, kita tampilkan calon yang bawa ‘track record’ perkhidmatan bersifat dekat dengan rakyat,” katanya. – SUMBER FMT – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button