Sukan

Melaka United tidak lanjutkan kontrak Zainal Abidin Hassan

MELAKA 16 Januari – Biarpun mengemudi Melaka United hingga mara ke separuh akhir Piala Malaysia edisi ke-100 tahun musim lalu selepas 38 tahun, usaha jurulatih, Zainal Abidin Hassan tidak lagi ditawarkan lanjutan kontrak bagi musim ini.

Yang pasti jodoh antara Zainal yang juga bekas pemain kebangsaan era 90-an dengan Melaka United FC (MUFC) tidak berpanjangan apabila khidmatnya menemui titik noktah untuk mengharungi kempen Liga Malaysia musim ini.

Mengesahkan mengenai perkara tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif KenTeam Sdn. Bhd., Datuk Seri Justin Lim memberitahu, Melaka United akan diterajui jurulatih baharu yang akan diumumkan selewat-lewatnya minggu depan.

“Barisan skuad Melaka United dengan jurulatih baharu akan kita umumkan tidak lama lagi. Skuad kali ini lebih bertenaga dan mantap.

“Kali ini saya mensasarkan skuad Sang Kancil untuk berada dalam kedudukan tiga tempat teratas Liga Super musim ini,” ujarnya ketika ditemui selepas menghadiri Kongres Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) ke-66 di Hotel MITC, Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

Kongres tersebut telah dirasmikan oleh Presiden Musa yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Justin berkata, berkata, setakat ini senarai pemain bakal menyarung jersi Melaka United telah dikenal pasti termasuk jurulatih baharu skuad itu.

“Senarai pemain kini di peringkat akhir untuk kita memuktamadkan. Tunggulah kita akan umumkan dalam masa terdekat,” ujarnya lagi.

Sementara ditanya mengenai hasrat KenTeam Sdn. Bhd. untuk memiliki sepenuhnya saham dengan pegangan 100 peratus ke atas pasukan Melaka United, Justin berkata, perkara tersebut masih di peringkat perbincangan dengan Presiden MUSA.

“Saya telah mengemukakan pelan perancangan KenTeam ke atas Melaka United yang akan dibawa kepada MUSA untuk diteliti. Perkara ini masih di peringkat perbincangan dan keputusan tersebut akan diketahui tidak lama lagi,” ujarnya lagi.

Ketika ini KenTeam memegang 70 pemilikan saham dalam pasukan itu sementara baki 30 peratus lagi dipegang MUSA.

Sementara itu beliau melahirkan rasa lega dapat menyelesaikan tunggakan tiga bulan gaji pegawai dan pemain skuad Liga Super musim lalu yang mula diterima mulai semalam.

Katanya, dengan penyelesaian kemelut itu beliau berharap dapat membentuk sebuah pasukan yang cukup mantap buat mengharungi cabaran musim ini.

(Visited 733 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button