Bola SepakSukan

Melaka United dikecam tunggakan tiga bulan gaji pemain, pegawai

MELAKA 12 Jan. – Apa sudah jadi dengan skuad bola sepak Melaka United (MU) yang pengurusannya tidak

lagi bawah Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) tetapi diuruskan oleh syarikat pengeluar sarung tangan, KenTeam Sdn. Bhd. April tahun lalu.

Kini timbul pula masalah pihak KenTeam tidak melunaskan tunggakan gaji 27 pemain, lima jurulatih dan dua fisioterapi sejak Oktober tahun lalu.

Masalah disuarakan bekas pemain skuad Sang Kancil kini tular di media sosial mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mendesak agar Melaka United segera menyelesaikan tunggakan gaji pemain selama tiga bulan itu.

Sebaliknya, Melaka United sekadar mengeluarkan kenyataan media di Facebook menyebut: “Berhubung isu tunggakan gaji pemain dan pegawai musim 2021, Melaka United FC kini sedang dalam proses akhir penstrukturan semula dari segi pentadbiran dan kewangan.

“Pihak pengurusan kelab memberi jaminan untuk menyelesaikan semua tunggakan dalam masa terdekat bagi memastikan perancangan Melaka United FC bagi tahun 2022 berjalan lancar.

“Pihak pengurusan menghargai kesabaran dan kerjasama daripada para pemain dan pegawai Melaka United FC. Sokongan daripada semua pihak khususnya penyokong amat kami hargai dan semoga tahun 2022 menjadi tahun
yang gemilang buat Melaka United FC.”

Tidak pasal-pasal Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang juga Presiden MUSA ditegur oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Penanung PFAM ekoran isu tunggakan gaji tersebut.

Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menegur Melaka United berhubung isu tunggakan gaji yang membelenggu pasukan itu sejak Oktober lalu.

TMJ turut berkongsi satu perbualan menerusi WhatsApp bersama Presiden MUSA, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali meminta beliau agar menyelesaikan tunggakan tiga bulan secepat mungkin.

Teguran itu kemudiannya disambut dengan nada positif apabila Sulaiman berjanji akan menyelesaikan tunggakan itu.

Terdahulu, PFAM badan yang mewakili kebajikan pemain itu memberi tempoh sehingga 19 Januari ini buat pengurusan pasukan membayar semua tunggakan tersebut.

Jika gagal, satu langkah drastik akan diambil bagi menuntut hak pemain yang sudah memberikan aksi terbaik sepanjang musim lalu termasuk membawa skuad Hang Tuah ke separuh akhir Piala Malaysia.

Sementara itu pihak pengurusan Melaka United FC terus membisu apabila usaha untuk menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif KenTeam, Datuk Seri Justin Lim dan Timbalan Presiden MUSA, Datuk Yusoff Mahadi turut
gagal dihubungi.

(Visited 276 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button