EkonomiNegeri

Melaka tingkat pelaburan dengan bantuan IMFC

KERAJAAN negeri bersedia bekerjasama dengan Invest Malaysia Facilitation Centre (IMFC) sebagai pusat pemudahcara berkaitan pelaburan di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia(MIDA) untuk meningkatkan pelaburan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kerajaan negeri melalui MIDA Melaka dan Invest Melaka akan memberi kerjasama penuh kepada IMFC dan menyokong Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

Menurutnya, perkara tersebut amat penting untuk menjadikan Melaka sebagai negeri mesra pelabur dan mesra perniagaan sejajar dengan aspirasi pelaburan nasional.

Beliau berkata, sepanjang tempoh tiga tahun sejak 2021 hingga suku tahun ketiga 2023, MIDA telah meluluskan sebanyak RM19 bilion bagi pelaburan baharu dan tambahan ke Melaka.

Katanya, ia merangkumi 480 projek serta berjaya mewujudkan sebanyak 10,427 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor serta peringkat jawatan.

“Ketika saya memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan negeri pada tahun 2022, kita telah berjaya mencatatkan pelaburan tertinggi dengan nilai pelaburan sebanyak RM8.574 bilion.

“Ia sekali gus mengiktiraf Melaka antara lima negeri memperoleh nilai pelaburan tertinggi oleh MIDA.

“Ini menunjukkan kejayaan dalam hasil usahasama antara kerajaan dan pihak swasta yang bersama-sama menggembleng tenaga dalam mewujudkan ekosistem pelaburan yang stabil, kondusif serta kompetitif menjadi kunci utama,” ujarnya.

Beliau berucap pada Majlis Melaka Industrial Night 2024 yang dihadiri Timbalan Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong di sini, malam tadi.

Pada majlis tersebut Ab. Rauf turut melancarkan Anugerah Kecemerlangan Industri Ketua Menteri Melaka (CMIEA) dan turut menyampaikan Anugerah Penghargaan Jawatankuasa Industri kepada 19 syarikat serta Anugerah Penghargaan Pelaburan 5 Bintang.

Menurutnya, berdasarkan rekod MIDA sehingga suku kedua tahun 2023, Melaka telah berjaya menarik sebanyak 151 projek pelaburan dengan nilai berjumlah RM4.7 bilion.

Menurutnya, antara pelaburan baharu adalah pelaburan tambahan berjumlah RM1 bilion daripada KOA Denko Malaysia Sdn Bhd, iaitu pembekal elektronik global dari Jepun.

Justeru beliau berharap pada tahun ini Melaka dapat mengembangkan potensi pelaburan negeri sebagai destinasi pelaburan pilihan utama di rantau ini sekali gus dapat mengukuhkan kedudukan dalam rantaian nilai global yang lebih stabil. -SM

BACA WTD & WTC 2025 lonjak pelancongan, pelaburan negara dan warisan Melaka

(Visited 15 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button