Kerajaan negeri akan terus memantau peningkatan kes Covid-19 di negeri ini sebelum memutuskan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka sebagai langkah drastik diambil jika memerlukan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, setakat ini peningkatan kes Covid-19 masih terkawal dan dalam tempoh seminggu yang lalu bilangan kes masih di bawah 50 kes.
Menurutnya, sebagai langkah awal beliau menggalakkan orang ramai termasuk pelancong yang datang ke negeri ini untuk memakai pelitup muka khususnya di tempat tumpuan orang ramai.
“Semalam sebanyak 28 kes dilaporkan dan sepanjang tempoh seminggu yang lalu bilangan kes tidak melebihi 50 kes kerana ada kes dilaporkan ada 19 dan ada 30 lebih.
“Jadi pada masa ini kita memantau peningkatan bilangan kes setiap hari dan Exco berkaitan akan membuat laporan setiap minggu pada mesyuarat Exco.
“Justeru, sebagai langkah awal saya mintalah orang ramai dan pelancong domestik datang ke negeri ini untuk mengalakkan mereka memakai pelitup muka,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas Majlis
Pecah Tanah Projek Pembinaan Monumen Bendera Gergasi di padang kawad Rejimen 514 Askar Wataniah, Kem Bukit Beruang di sini hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Datuk Zainal Abu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shahdan Othman dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin, Datin Sapiah Haron.
Mengulas mengenai kemasukan pelancong dari luar negara datang ke negeri ini Sulaiman berkata, kerajaan negeri memutuskan untuk mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh
Kerajaan Pusat.
Jelasnya, bukan setakat pemakaian pelitup muka digalakkan tetapi juga penjarakan sosial dan kerap mencuci tangan seharusnya dipratikan semula.
Dalam pada itu beliau berkata, pembinaan Monumen Bendera Gergasi setinggi 166 meter dari aras laut di Hutan Simpan Bukit Beruang bakal menjadi mercu tanda tarikan pelancong di negeri ini.
“Saya harap mercu tanda ini yang akan siap dibina pada 2025 akan menjadi saksi meninjau pertumbuhan dan kemakmuran ekonomin dari puncak Bukit Beruang,” ujarnya. – SM