NasionalPolitik

Kertas Jemaah Menteri berkaitan isu kerakyatan anak akan dibentang

MENTERI Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan beliau akan membentangkan Kertas Jemaah Menteri berhubung pindaan pada Bahagian II Jadual ke-2 Perlembagaan Persekutuan mengenai isu kewarganegaraan anak kepada wanita rakyat Malaysia dan pasangan warga asing yang lahir di luar negara.

Isu ini katanya, dijangka dibawa ke Kabinet pada bulan depan.

Saifuddin berkata, pihaknya sudah menubuhkan satu Jawatankuasa di peringkat kementerian (KDN) bagi meneliti aspek perundangan yang berkaitan.

Saifuddin berkata demikian ketika mengulas memorandum Jemaah Menteri dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ke Kabinet bersamanya sebelum ini.

“Hasrat kami akan mengangkat kertas ke Jemaah Menteri bagi dimuktamadkan, kami akan mulakan kertas dari KDN dulu bagi mendapat kelulusan dasar Jemaah Menteri.


“Kalau nanti ada arahan Jemaah Menteri penglibatan bersama dengan kementerian undang-undang, menuju ke arah kertas Jemaah Menteri bersama,” katanya dalam sidang media di Jabatan Pendaftaran Negara.

Sebelum ini Azalina berkata, kerajaan akan memulakan proses pindaan itu dalam masa terdekat bagi menyelesaikan isu kewarganegaraan anak kepada wanita rakyat Malaysia dan pasangan warga asing yang lahir di luar negara.

Pindaan pada Bahagian II Jadual ke-2 Perlembagaan Persekutuan itu bagi membolehkan kanak-kanak dilahirkan wanita warga Malaysia di luar negara mendapat hak kerakyatan negara ini sama seperti anak kepada bapa warga Malaysia yang lahir di luar negara.

Sementara itu, Saifuddin berkata, pihaknya sedang meneliti 36,000 permohonan untuk menjadi warganegara Malaysia sambil memberi jaminan tidak akan berkompromi dengan undang-undang negara.

“Saya ambil rekod dari 2017 hingga 2022 yang buat permohonan 54,000 dan kita luluskan sehingga sekarang 7,000 dan kita sedang proses 36,000, lain-lain kita batal atau gagal,” katanya.

Saifuddin turut memaklumkan, JPN kini dalam usaha mendigitalkan 150 juta rekod rakyat Malaysia sejak 1868.

“Kami diberi taklimat oleh JPN (pada) masa hadapan untuk tingkat kualiti penyampaian. Di JPN ada bahagian yang simpan khazanah seawal abad ke-18. maklumat asas, nama, alamat dan pekerjaan dalam simpanan JPN.

“Rancangan masa depan, khazanah maklumat dapat simpan dengan selamat, kami mahu mendigitalkan rekod JPN supaya dapat pastikan keselamatan, simpan tujuan munasabah masa hadapan,” katanya. – SM

(Visited 39 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button