Nasionalpilihan

Melaka laksana kaedah no right turn elak kesesakan

Kerajaan negeri akan memperkenalkan kaedah no right turn dalam usaha mengatasi masalah kesesakan di persimpangan lampu isyarat terutama di waktu puncak.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengenal pasti sembilan persimpangan untuk pelaksanaan no right turn.

Menurutnya, sembilan persimpangan tersebut ialah hadapan Klinik Kesihatan Masjid Tanah, Jalan utama Masjid Tanah, Persimpangan Bandar Baharu Masjid Tanah dan persimpangan Solok Duku.

Beliau berkata, turut sama persimpangan Sekolah Sains Alor Gajah, persimpangan Jejambat Cheng Lebuh Raya SPA, persimpangan Stadium Hang Jebat, persimpangan Durian Tunggal dan persimpangan MITC.

“Sebagai percubaan pertama kita akan tutup persimpangan lampu isyarat di Stadium Hang Jebat untuk melihat keberkesanan kelancaran trafik di situ.

“Kita akan mula sesi percubaan ini pada 3 Julai ini dan kita akan tengok kaedah ini dapat membantu supaya mereka dari Masjid Tanah yang hendak ke bandar Melaka dapat berjalan lancar.

“Ini percubaan pertama kerana ada banyak lagi kawasan-kawasan terutama dari Jasin, Alor Gajah dan Masjid Tanah menuju ke bandar Melaka yang masih dalam kajian oleh pihak JKR,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Pasca Exco Mingguan di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Ab. Rauf berkata, percubaan itu dilakukan adalah untuk mengetahui pelaksanaan no right turn ini sama ada ia memberi kesan kepada penduduk setempat.

Menurutnya, hebahan akan dibuat kepada orang ramai tentang kaedah penyuraian itu sama ada ia boleh mengelak daripada berlakuknya kesesakan teruk serta menjimatkan masa.

Mengulas mengenai cadangan mewujudkan zon bebas kenderaan di pusat pelancongan di Bandar Hilir Ab. Rauf berkata, tempoh percubaannya akan mula dilaksanakan bulan depan.

Menurutnya, kajian teliti dan simulasi telah dibuat bagi memastikan penyuraian trafik di kawasan tumpuan pelancong itu dapat diatur dengan baik.

“Kita tidak menetapkan awal Julai ini kerana kita akan lihat percubaan pelaksanaan no right turn terlebih dahulu tetapi yang pastinya bulan depan,” katanya.

(Visited 74 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button