Ekonomi

Canon memelihara kawasan penting burung dan biodiversiti di Pulau Pinang

Canon Marketing Malaysia (Canon) dengan bangganya melancarkan kempen tahunannya, “One Canon One Tree” di Sungai Tembus, Pulau Pinang yang mempunyai hutan bakau yang paling lengkap negeri itu.

Sejak tahun 2016, Canon menjalankan inisiatif penanaman pokok yang menunjukkan sokongannya terhadap matlamat kerajaan untuk menjadi sebuah negara yang neutral karbon menjelang tahun 2050.

Canon telah menanam 200 pokok bakau di Sungai Tembus untuk memelihara keindahan semula jadi Malaysia di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan ekologi bersempena dengan Hari Alam Sekitar Sedunia – #BeatPlasticPollution.

Canon bekerjasama rapat dengan Shorebirds Peninsular Malaysia Project (SPMP) dan Unit Nelayan Sungai Tembus untuk menjalankan aktiviti penanaman pokok hutan bakau.

Ini menunjukkan usaha mereka dalam menyokong biodiversiti, pemuliharaan burung dan inisiatif ekopelancongan.

Sungai Tembus mempunyai peranan besar terhadap biodiversiti hutan Penaga di Pulau Pinang. Ekosistem bakau ini bukan sahaja penting untuk kelangsungan para nelayan malah turut menjadi tempat kepada lebih 100 spesies burung hijrah di Sungai Tembus antara bulan Mac hingga Jun.

Penghijrahan ini memperlihatkan keindahan alam semula jadi di hutan Penaga. Kehadiran spesies burung seperti burung openbill Asia, burung botak dan burung pucung di tanah lembap ini turut memainkan peranan ekologi yang penting iaitu mengawal populasi dan pembiakan haiwan perosak seperti siput gondang emas serta siput gondang hitam. Ini memastikan pertanian peladang beras tempatan sentiasa terjaga.

Selain itu, sungai ini juga merupakan sebahagian daripada Kawasan Penting Burung dan Biodiversiti (IBA) Teluk Air Tawar-Kuala Muda, iaitu kawasan teluk yang telah diiktiraf sebagai keperluan penting kepada populasi burung di Pulau Pinang.

Oleh sebab IBA ini sudah dikenal pasti berada dalam bahaya maka usaha untuk memelihara tanah lembap ini masih diteruskan dan juga usaha untuk mewartakan kawasan ini sebagai hutan simpan yang kekal.

Walau bagaimanapun, IBA di Malaysia ini masih memerlukan kesedaran yang lebih luas demi melindungi kekayaan biodiversiti dan populasi burung hijrah di samping memberi manfaat kepada komuniti tempatan serta mempromosi eko pelancongan.

Sebagai sebuah syarikat yang menjuarai penjagaan alam sekitar di Malaysia, Canon mengiktiraf kepentingan hutan bakau di Sungai Tembus dan menghubungi organisasi tempatan untuk bekerjasama dalam projek pemuliharaan ini.

Seramai 36 ahli staf Canon turut serta dalam majlis ini yang turut membantu mengecat semula dewan rakyat Unit Nelayan dan memulihara hutan bakau. Organisasi itu mengembangkan pendekatannya untuk masa depan yang lebih hijau dan lestari dengan menanam pokok serta menekankan perihal pemeliharaan ekologi di seluruh negara.

Shunji Yoshikai, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Canon Marketing Malaysia mengulas mengenai kempen itu berkata, “Di Canon, kami amat mempercayai falsafah korporat kami ‘Kyosei’ – hidup dan bekerjasama untuk kebaikan bersama. Kami secara aktif mengamalkan Kyosei dengan menyumbang kepada masyarakat yang lestari melalui inisiatif ‘One Canon One Tree’ dan menggalakkan penjagaan alam sekitar. Dengan penglibatan kami terhadap inisiatif untuk melindungi alam semula jadi dan memupuk biodiversiti, kami berhasrat untuk menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) PBB dalam mencipta dunia yang lebih baik buat generasi yang seterusnya”.

Dengan dedikasi yang kuat untuk mempromosi operasi perniagaan yang lestari dan pemeliharaan alam sekitar, Canon dengan usaha proaktif terus menekankan kesedaran terhadap keperluan amalan yang lestari di bawah mesej “Imaging for Good” sebagai pemimpin jenama dalam bidang penyelesaian pengimejan digital. Sudah bertahun-tahun syarikat ini menanam pokok sekurang-kurangnya 8,000 batang pokok termasuk 511 pokok yang dikhaskan sebagai bank makanan kepada Tapir yang dijaga di Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun di Selangor.

Daren Tan, Ketua Canon Marketing Malaysia Cawangan Pulau Pinang berkata lagi, “Sebagai penduduk Pulau Pinang, saya juga amat berbangga kerana menjadi sebahagian daripada inisiatif ini. Matlamat kami bukan sahaja untuk membantu para nelayan tempatan dan menambah baik kehidupan mereka namun kami turut berhasrat untuk menentang perubahan iklim serta memelihara warisan semula jadi tempatan yang berharga”.

“Bercakap bagi pihak pasukan Canon yang terlibat dalam program ini, usaha ini merupakan detik yang signifikan bagi kami dalam menyokong pemuliharaan pokok bakau dan menekankan kesedaran tentang inisiatif untuk melindungi dunia semula jadi kita serta memerlukan sokongan semua orang. Matlamat kami adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang Habitat Penting Burung dan Biodiversiti (IBAs) serta peranannya dalam mengekalkan keseimbangan ekologi di Pulau Pinang juga di seluruh negara,” katanya.

Berikutan inisiatif “One Canon One Tree” di Sungai Tembus, kempen itu akan meneruskan perjalanannya ke seluruh Malaysia. Kempen ini akan mengadakan program penanaman pokok di Johor Bahru, Kuching, Kota Kinabalu, Kuantan dan Lembah Klang.

Sebagai sebuah syarikat, Canon berdedikasi untuk menghasilkan impak yang positif kepada alam sekitar serta mengalu-alukan kerjasama dengan organisasi sosial, komuniti tempatan dan pihak berkepentingan lain yang berminat untuk turut serta dalam program “One Canon One Tree”. Semua pihak berganding bahu demi mewujudkan planet yang lebih sihat dan segar untuk generasi masa hadapan.  – SM

(Visited 104 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button