Nasional

Matlamat sifar miskin tegar tercapai menjelang penghujung 2025 menerusi BMTKM

Kerajaan komited dalam mencapai matlamat sifar miskin tegar menjelang penghujung tahun 2025 menerusi Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, BMTKM dimulakan pada akhir bulan April 2022 bagi Fasa 1 yang melibatkan 80 lokaliti dan kira-kira 5,000 Ketua Isi Rumah (KIR) secara rintis.

“Pelaksanaan BMTKM akan menggunakan pendekatan baru yang lebih holistik, bersepadu dan berfokus dengan tumpuan kepada aktiviti penjanaan pendapatan dalam kalangan KIR miskin tegar secara mampan,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) Bilangan 2 Tahun 2022.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Menteri-Menteri Kanan serta Ketua Jabatan dan Agensi.

Dalam masa sama, mesyuarat dimaklumkan bahawa Prestasi Perbelanjaan Peruntukan Pembangunan (DE) Tahun 2022 sehingga 15 Ogos 2022 telah mencatat peningkatan sehingga 50.35 peratus berbanding 26.4 peratus pada 15 April 2022.

“Semua kementerian digesa meningkatkan prestasi perbelanjaan. Peruntukan yang tidak dibelanjakan perlu diserahkan kembali kepada Kementerian Kewangan untuk diagihkan semula kepada kementerian-kementerian yang memerlukan.

“Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMKe-12 dan juga Jawatankuasa Pemudahcara Pelaksanaan Projek Pembangunan Negara (JP4N) akan terus meneliti isu dan cabaran semasa bagi mempercepat pelaksanaan
projek pembangunan dalam tempoh RMKe-12 demi manfaat kepada Keluarga Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai matlamat pembangunan, mesyuarat turut bersetuju supaya Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU, JPM) menyediakan Kajian Separuh Penggal (KSP) RMKe-12 bagi meneliti dan menyemak semula dasar dan sasaran sedia ada bermula pada September 2022 hingga September 2023.

“Selaras dengan sasaran untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi yang inklusif dan mampan pada tahun 2025, mesyuarat bersetuju untuk membuat pemantauan rapi dan berterusan ke atas pencapaian
indikator utama dan memastikan pelaksanaan intervensi yang perlu ekoran ketidaktentuan ekonomi dunia, konflik geopolitik yang mempengaruhi kenaikan inflasi serta perubahan struktur ekonomi negara yang perlahan.

“Malaysia telah menjadi negara menua (ageing nation) pada tahun 2021 dan dijangka menjadi negara tua (aged nation) pada tahun 2044,” katanya.

Negara menua ditakrifkan sebagai populasi yang berumur 65 tahun ke atas mencapai 7 peratus daripada jumlah populasi, manakala negara tua ditakrifkan sebagai populasi yang berumur 65 tahun ke atas mencapai 14 peratus daripada jumlah populasi.

“Sehubungan itu, mesyuarat bersetuju dengan mekanisme mengarus perdana agenda negara menua dan penyediaan satu blueprint Agenda Negara Menua (ANM) yang akan diselaraskan oleh EPU, JPM,” katanya.

 

 

(Visited 193 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button