Nasional

MATAHARI dan IRIS bantu survival wanita semasa berdepan pengalaman buruk

Bagi menjamin survival wanita semasa berdepan pengalaman buruk, program Meningkatkan Daya Tahan dan Psikologi Wanita (MATAHARI) dan Literasi Perundangan dan Hak Wanita (IRIS) telah diperkenalkan.

Ujar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), MATAHARI dan IRIS adalah satu keperluan yang cukup penting buat wanita hari ini.

“Program MATAHARI merupakan program yang menumpukan kepada usaha-usaha meningkatkan kesejahteraan kendiri wanita melalui aspek psikologi dan pemikiran positif.

“Program ini juga akan memberi fokus untuk meningkatkan kemahiran daya tahan dan penyesuaian diri kepada sebarang perubahan,” kata KPWKM dalam satu kenyataan.

Program IRIS pula dibangunkan bagi menyampaikan pengetahuan asas mengenai hak individu dari aspek perundangan untuk menangani isu keganasan dan diskriminasi terhadap wanita dalam masyarakat.

“Program ini dibentuk agar dapat memperkasa literasi perundangan dalam komuniti khususnya wanita dalam meningkatkan pemahaman mengenai hak-hak wanita.

“Program IRIS berperanan memperkasa komuniti untuk bertindak dan memberi sokongan serta menyebarkan maklumat mengenai bantuan dan sokongan yang tersedia,” ujar KPWKM.

Terdahulu, pelancaran program MATAHARI dan IRIS disempurnakan Menteri KPWKM, Datuk Seri Nancy Shukri.

Turut hadir, Timbalan Menteri KPWKM, Aiman Athirah Sabu dan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KPWKM, Chua Choon Hwa.

Berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pada tahun 2021 sebanyak 212,319 panggilan dibuat menerusi perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh agensi-agensi Kerajaan termasuk Talian Kasih 15999 untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling dan sokongan emosi.

“Data ini menunjukkan peningkatan sebanyak lima kali ganda berbanding tahun 2020 iaitu sebanyak 44,061 panggilan.

“Peningkatan jumlah panggilan menunjukkan bahawa masyarakat sangat memerlukan program-program sebegini bagi meningkatkan daya tahan psikologi dalam diri mereka,” kata KPWKM.

Sehubungan itu, peserta bagi kedua-dua Program MATAHARI dan IRIS akan dipilih daripada mereka yang berisiko dan benar-benar memerlukan bantuan serta terlibat dalam kes-kes yang berkaitan.

Langkah-langkah yang perlu akan diambil untuk mengenalpasti kumpulan peserta ini supaya kemahiran dan maklumat yang diberikan benar-benar sampai dan dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

“Menurut statistik PDRM sebanyak 6,540 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan pada tahun 2022 dan daripada jumlah itu, kes keganasan terhadap wanita adalah sebanyak 3,269 kes.

“Terdapat penurunan kes berbanding tahun 2021 iaitu 7,468 kes keganasan rumah tangga dan 3,271 kes keganasan terhadap wanita,” kata kenyataan itu.

Nancy menggesa agar mangsa segera membuat laporan supaya langkah-langkah sewajarnya dapat diambil dengan serta-merta.

Golongan wanita yang memerlukan bantuan awal berkaitan pembangunan psikososial dan literasi undang-undang turut diseru agar bersifat terbuka dan tampil mendapatkan bantuan segera dan berkongsi permasalahan kerana mereka tidak keseorangan.

Hubungilah Talian Kasih 15999 atau whatsapp 019-2615999 yang beroperasi 24 jam sehari untuk mendapatkan bantuan berkaitan yang disediakan oleh KPWKM.

(Visited 332 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button