Masyarakat Mandailing Malaysia teruskan semangat keturunan pejuang
KAUM Mandailing terkenal sebagai kaum pejuang yang berhijrah dari Utara Sumatera ke Semenanjung Tanah Melayu pada tahun 1800.
Kini selepas beberapa abad, kaum Mandailing telah bertebaran di Malaysia terutama di Kedah, Perak, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan. Dianggarkan ketika ini terdapat lebih 100,000 keturunan orang Mandailing di negara ini.
Ahad lalu, dengan usaha pemilik ladang solar berskala besar di Malaysia, Gading Kencana Development Sdn. Bhd., Datuk Ir. Guntor Tobeng yang juga berketurunan Mandailing, beliau berjaya mengumpulkan kira-kira 30 orang keturunan Mandailing yang turut menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan Malaysia.
Antara yang hadir dalam pertemuan yang berlangsung di ladang solar Gading Kencana di Bidor Perak itu pada Ahad lepas adalah bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.
Dalam pertemuan itu, mereka kagum dengan kemajuan dan kecanggihan ladang solar Gading Kencana yang disifatkan sebagai antara lambang kejayaan masyarakat Mandailing di Malaysia.
- Gading Kencana labur RM150 juta bina ladang solar ke-3 di Perak
- Nikah anak: Pemilik syarikat ladang solar, Guntor Tobeng mohon maaf
“Kita kena menyedari bahawa orang Mandailing ini adalah satu kumpulan yang hebat. Orang yang berhijrah dari satu tempat ke satu tempat bukan orang biasa-biasa. kalau orang biasa dia akan duduk di kampung dialah. Dia tak akan keluar.
“Tapi macam Datuk Guntur ni dia dari Kedah datang ke sini buka ladang ini. Begitu juga dengan orang Cina, orang India. Dan kita juga adalah sama seperti golongan itu mempunyai kekuatan kekuatan untuk berhijrah dari satu negara ke satu negara,” kata Alimuddin.
Menurut Alimuddin, kaum Mandailing mempunyai sejarah yang panjang di Malaysia. Mereka tiba di Tanah Melayu secara beramai-ramai dari utara Sumatera ketika Perang Padri yang berlaku di wilayah itu dari dari 1803 hingga 1838.
Alimuddin berkata, ketika tiba di Tanah Melayu masyarakat Mandailing diketuai oleh Raja Asal, Raja Bilah dan Sultan Puasa. Menurutnya, Raja Asal dan Raja Bilah berhijrah ke Perak menjadi pembesar di situ manakala Sultan Puasa pula bermastautin di Kuala Lumpur.
Jelas beliau, masyarakat Mandailing ketika itu mempunyai dua kepakaran. Pertama sebagai petani dan kedua menguasai pengangkutan air di Sungai Kelang.
“Jadi maknanya bijih-bijih atau barang yang dibawa daripada Kuala Lumpur ke Kelang menggunakan sampan ataupun perahu-perahu kepunyaan orang Mandaling. Mereka mengawal pengakutan air antara Kuala Lumpur – Kelang,” kata Alimuddin.
Beberapa tempat turut menggunakan nama-nama besar orang Mandailing antaranya Seputih di Kuala Lumpur dan Perak merupakan nama isteri Raja Asal. Teluk Intan di Perak juga mengambil nama seorang wanita Mandailing yang dikenali sebagai Mak Intan.
Ampang pula dibuka oleh Raja Beranang dan kawasan Bunus yang kini sebahagian Kampung Baru oleh Tok Bunus.
Untuk generasi muda Mandailing di Malaysia, Alimuddin menyarankan agar mereka ditanam dengan semangat asal orang Mandailing yang kuat berjuang.
“Kita kena tanam kepada anak-anak kita dan orang muda bahawa kita adalah keturunan pejuang yang terlibat dalam perjuangan.
“Orang yang terlibat dalam perjuangan. Mungkin perjuangan untuk mencari kehidupan yang lebih baik. Perjuangan untuk mengubah hidup daripada keadaan begini ke keadaan yang lebih baik. Jadi ini adalah semangat yang ada dalam kalangan orang Mandailing,” kata Alimuddin.
Turut hadir dalam pertemuan itu adalah bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abd Rahim Uda dan bekas Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Tan Sri Ahmad Zaki Ansore.-SM