NasionalRibut

Mangsa ribut di Perlis akan dibantu MAIPs dan JKM

Terkini: 102 rumah rosak akibat ribut semalam

TRAGEDIyang berlaku sekitar pukul 10.30 pagi semalam menyebabkan 102 rumah rosak dibadai ribut. Kejadian itu berlaku ketika umat Islam di Perlis masih meraikan hari raya ketiga Aidiladha, berpunca dari kesan tekanan rendah cuaca di Barat Filipina.

Ekoran rumah musnah, terdapat mangsa yang terpaksa menumpang di rumah saudara dan jiran memandangkan struktur rumah masing-masing rosak serta bumbung telah diterbangkan angin.

Pokok tumbang menghempap bumbung rumah selepas dibadai ribut kencang semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor berkata, setakat ini di kawasan Zon Utara sahaja sebanyak 62 rumah rosak akibat ribut.

“Kariah Paya melibatkan enam buah rumah, kariah Lubuk Sireh (2), kariah Padang Pauh (1), kariah Bukit Keteri (Taman 20) (30), kariah Perawah (13), kariah Jamek Beseri (4) manakala kariah Kg Melayu dan kariah Oran masing-masing tiga,” katanya.

Beliau berkata, Zon Timur pula dilaporkan terdapat 28 buah rumah rosak yang melibatkan kariah Panggas (10), kariah Kubang Perun (4), kariah Ulu Pauh (2) dan kariah Balik Bukit (12).


Selain itu katanya, rumah rosak di Zon Tengah pula mencatatkan sembilan kes di mana Batu 5, kariah Abi dan kariah Kurung Batang masing-masing sebuah, kariah Wang Besar (2) dan kariah Kuala Perlis (4).

BUMBUNG perpustakaan terbang dibawa angin kencang ekoran ribut yang melanda Perlis pagi semalam.

“Manakala di Zon Barat pula ada tiga kes di mana sebuah di Kangar dan Masjid Putra pula dua buah,” ujar beliau.

Mohd Nazim berkata, pihaknya turun padang secara berpasukan dari semasa ke semasa untuk mengadakan bancian bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Pelaksanaan bancian ini bagi mendapatkan anggaran sebenar kerosakan dan jumlah rumah yang terlibat dalam ribut semalam,”katanya.

Katanya lagi, masih terdapat penduduk yang terjejas akibat dibadai ribut yang masih belum membuat laporan polis.

Bantuan bagi membaiki kediaman dan keperluan berkaitan akan disalurkan segera oleh MAIPs dan JKM setelah semua maklumat lengkap kerosakan setiap rumah diperoleh, katanya.  – SM

(Visited 55 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button