Kemalangan

Pengawal keselamatan maut motosikal bergesel kereta

SEORANG pengawal keselamatan maut apabila motosikal dinaikinya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Kampung Padang Keladi, Durian Tunggal dekat sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, mangsa dikenali sebagai, Salim Aman, 50, disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka kira-kira pukul 1.25 pagi tadi.

Menurutnya, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 mengalami kecederaan parah di kepala selepas melambung akibat bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dari arah Ayer Keroh dipercayai memasuki laluan bertentangan lalu melanggar sisi kereta jenis Honda Civic yang datang dari arah Durian Tunggal menghala ke Bukit Katil,” ujarnya di sini hari ini.

Menurut Arshad, akibat kemalangan itu mangsa dipercayai melambung ke tengah jalan raya menyebabkan dia mengalami kecederaan parah di kepala.


Katanya, mangsa telah dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.

Sehubungan itu beliau meminta saksi di tempat kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – SM

(Visited 67 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button